PENGUNJUNG SETIA

02 Mac 2013

MULA SECARA KECIL-KECILAN


Oleh Razman (MPOB Tangkak)

Seluas 32 hektar tanah miliknya ditanam sawit, 16 ekar lagi dengan tanaman getah sementara 8 ekar diusahakan sebagai tapak semaian sawit oleh pekebun kecil ini di samping belian buah tandan segar (BTS) purata bulanan sebanyak 7,000 tan.

Mohd Janis Abu Bakar, 55, turut mengusahakan integrasi tanaman pisang, keladi dan ubi kayu, ternakan lembu dan belian getah dengan hasil bulanan mencecah 150 tan bagi menambah pendapatan.

Beliau menetap di Kg Parit Kassan, Ledang, Johor, bersama isteri, Tuminah Hasan Muali, 53. Sesuatu yang menarik pada pasangan ini ialah mereka berkongsi tarikh lahir iaitu 16 Mei dan hasil perkongsian hidup dikurniakan enam cahaya mata yang berusia antara 12 hingga 32 tahun.

Ketika berkongsi kejayaan beliau melalui industri sawit dan pertanian yang diusahakan sejak tahun 1980, Mohd Janis bermula dengan bertindak sebagai pemungut BTS dan menjadi pekebun serta menjual kepada peraih menggunakan motosikal trailer dengan hasil jualan satu tan sehari.

Jadi ejen PPK

Rentetan dari itu, beliau membeli sebuah lori satu tan pada tahun 1984 dan menjadi orang tengah atau ejen kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Koperasi RISDA untuk aktiviti jual beli buah tandan segar.

Selepas itu, beliau mula membeli kebun getah seluas tiga ekar dengan harga RM16,000 pada tahun 1984. Pada tahun 1990, kebun getah berkenaan ditebang dan ditanam dengan tanaman sawit.

Melihat kepada peluang dan ruang yang ada, pada tahun 1990 beliau mula memohon lesen peraih BTS daripada PORLA (sekarang MPOB) dengan aktiviti bermula di kawasan kediamannya dan berkembang dengan menyewa tapak yang lebih luas pada tahun 1995 sebelum membeli tapak perniagaan yang sedia ada kini pada tahun 2000.

Sejajar usaha gigihnya, beliau kini mempunyai sembilan trailer dan 29 lori serta 99 pekerja tempatan untuk membantu aktiviti dan operasi perusahaan sawit dan pertanian yang dijalankan. Perniagaan beliau yang berkembang ini juga turut memberi manfaat dan membuka peluang pekerjaan terhadap penduduk setempat.

Pokok sawit yang dimiliki kini berumur dari 2 tahun hingga 22 tahun. Sebelum itu tanah berkenaan ditanam pokok getah yang ditebang dan dibersihkan sendiri bersama arwah bapanya secara manual dengan menebang, menebas dan membakar.

Menurut Mohd Janis, kebanyakan kebun yang ditebang untuk ditanam dengan sawit bermula sekitar tahun 1998. Anak benih sawit yang ditanam di ladang adalah sumber dari Guthrie (kini Sime Darby) melalui peringkat umur 10-12 bulan dengan kepadatan tanaman 148 pokok sehektar iaitu dengan jarak 8.8m x 8.8m x 8.8m segi tiga sama.

Kawalan serangga perosak

Pada peringkat awal tanaman sawit, beliau mengawal perosak kumbang badak dengan menggunakan racun Furadan pada kadar 15g/pokok dengan pusingan dua kali sebulan.

Bagi kawalan rumpai pula, racun jenis sentuh (Basta) digunakan pada tanaman sawit kurang dari lima tahun secara bulatan dan rumpai jenis lembut dibiarkan tumbuh secara terkawal untuk mengawal kelembapan tanah dan hakisan.

Kaedah penyemburan terpilih untuk kawalan rumpai jenis anak kayu dan kawalan rumpai secara bulatan dengan menggunakan racun jenis serap (Ecomax) bagi kawasan sawit matang.

Aktiviti meracun dijalankan tiga kali setahun serta bergantung pada tahap pertumbuhan rumpai. Penyelenggaraan kebun dijalankan mengikut jadual ditetapkan. Beliau menggunakan baja sebatian MPOB F1, MPOB F4 dan organik dengan kadar 10kg/pokok/tahun dengan empat pusingan setahun dengan jenis baja bergilir-gilir.

Pemangkasan sawit dibuat dua kali setahun bagi menjamin tanaman sawit mempunyai bilangan pelepah yang mencukupi dan kelembapan kawasan yang baik.

Selain itu, bagi mencapai pendapatan yang baik, beliau hanya menuai BTS yang masak mengikut prosedur ditetapkan MPOB dengan pusingan menuai 12 hari sekali.

BTS yang dituai dikumpul di pusat timbang untuk proses penggredan sebelum dihantar ke kilang dalam tempoh kurang dari 24 jam. Oleh itu, kadar perahan minyak (OER) yang diterima dari kilang adalah tinggi.

Hasil memberangsangkan

Hasil BTS yang direkodkan pada tahun 2011 ialah 36.05 tan sehektar setahun.

Selain itu, beliau juga menggunakan sepenuhnya tanah tanaman sawit belum matang dengan integrasi tanaman pisang, keladi dan ubi kayu serta ternakan lembu yang berjumlah 700 ekor dengan purata sembelihan serta jualan setiap bulan sebanyak 100 ekor.

Beliau berkata, selain daripada berusaha dan yakin pada diri sendiri, beliau juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada agensi Kerajaan seperti MPOB, RISDA, Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan FAMA untuk mengusahakan tanaman sawit, getah dan aktiviti pertanian yang diceburi sekarang.

Khidmat sosial

Antara khidmat sosial untuk masyarakat setempat dan jawatan yang disandang beliau pada tahun 2012 adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Ledang; Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Kontraktor dan Usahawan Ledang; Timbalan Pengerusi Kg Parit Kassan; Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Parit Kassan; Timbalan Pengerusi Sekolah Agama Parit Kassan dan AJK Persatuan Peniaga Sawit Malaysia.

Beliau yang kini Pengerusi Peniaga Sawit Daerah Ledang dan Timbalan Pengerusi Peniaga Sawit Negeri Johor menerima Anugerah Pekebun Kecil Terbaik (Sawit dan Getah) daripada RISDA pada tahun 2008. Anugerah lain diterima ialah Anugerah Kecemerlangan Peniaga Buah sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1996, 2007, 2010 dan 2011.

SUMBER: BERITA SAWIT BH, 02 MAC 2013

Tiada ulasan: