TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Mac 2013

TIADA SEBAB RAKYAT TOLAK BN

Wartawan Sinar Harian
Hamim Samuri
Hamim Samuri
 
LEDANG - Pengundi di kawasan Ledang tidak mempunyai sebab untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk terus mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Pengerusi BN Ledang, Ir Hamim Samuri berkata, BN berjaya memerintah dengan cemerlang menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang tempoh lebih 55 tahun mentadbir negara termasuklah daerah ini.

Menurutnya, Ledang tidak terkecuali menerima pembangunan melibatkan projek mega iaitu pembinaan Plaza Tol Bukit Gambir oleh PLUS Expressways Bhd (PLUS) dengan kos RM80 juta.

“Plaza tol berkenaan yang dijadualkan siap pada Disember ini mempunyai laluan keluar masuk masuk ke lebuh raya, dibina demi keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya yang kini semakin bertambah.

“Ia adalah kejayaan paling besar BN. Malah, Ledang mengalami pertambahan penduduk yang tinggi kesan daripada limpahan pembangunan di Bukit Gambir,” katanya kepada Sinar Harian,  di sini, semalam.

Hamim berkata, plaza tol berkenaan dibina di Bukit Gambir kerana lokasinya yang strategik selain kawasan itu  sedang rancak membangun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, projek yang dibina pada tahun lalu itu akan menjadi laluan alternatif buat pengguna lebuh raya kerana Plaza Tol Tangkak dan Plaza Tol Pagoh kian sesak, sejak kebelakangan ini.

“Ia secara langsung memberi manfaat dan merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

“Pekan Bukit Gambir selepas ini dijangka berubah wajah dengan adanya tol ini ditambah pula dengan pembinaan pusat komersial dan pasar raya besar,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga baru sahaja menyiapkan kerja naiktaraf Jalan Sialang di Pekan Tangkak pada hujung tahun lalu.

Hamim berkata, jalan sepanjang lima kilometer bernilai RM22 juta itu sudah memulakan kerjanya pada  pertengahan 2011.

“Kerja itu melibatkan pelebaran jalan kepada dua lorong, memasang lampu jalan dan membina bahu jalan berturap.

“Jalan ini digunakan hampir 110,000 penduduk daerah ini yang menghubungkan laluan dari Tangkak ke Jasin, Melaka,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat menghargai usaha dilakukan kerajaan yang membelanjakan sejumlah peruntukkan besar untuk kesejahteraan rakyat melalui projek pembangunan.

Tegasnya, rakyat perlu rasional dan tidak mudah terpengaruh hasutan pihak tertentu yang asyik memburukkan kerajaan kerana kepentingan politik mereka.

SUMBER: SINAR HARIAN, 30 MAC 2013

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

banyak lagi jalan yg patut di naik taraf. jalan2 hubungan antara kampung2 di daerah ini yg kecil dan sempit, lorong2 celah pokok sawit dan getah. persimpangan jalan kampung ke jalan federal [simpangtiga] yang bahaya patut di ambil perhatian dan dirancang dari dulu. malangnya wakil rakyat tak nampak benda ni penting dan musthak. macamana kampung nak maju kalau jalan sempit memanjang, parit dan longkang tak di selenggara, simpang2 tiga gelap dan bahaya. jalan kesekolah pun lalu celah pokok sawit/pokok getah dan sempit pulak tu...tak perlu tunggu PRU13. hasrat peniaga kecil2an nak buat gerai di tepi2 jalan kampung pun tak menjadi sebab jalan sempit....macamana kampung nak meriah dan rancak...patutnya dah buat lama dah...asyiyk tidur je , camne...