TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

31 Mac 2013

"TERUK SAYA JIKA KETUA TAHU"

LEDANG 30 Mac - "Tolong encik jangan ambil tindakan, teruk saya jika ketua jabatan tahu tentang kejadian ini." 
 
Demikian rayuan seorang wanita kakitangan sebuah jabatan kerajaan di daerah ini apabila dicekup semasa sedang berkhalwat bersama pasangannya oleh Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang, awal pagi ini.

Wanita yang berusia 30 tahun dan pasangannya berusia 33 tahun itu dicekup dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 pagi ketika berdua-duaan dalam sebuah bilik di rumah sewa wanita berkenaan di Tangkak, di sini.

Menurut wanita itu yang bekerja sebagai juruteknik dan berasal dari Batu Pahat, teman lelakinya hanya 'singgah' ke bilik itu sementara menunggu ibunya memasukkan wang ke dalam akaun bank untuk pulang ke kampungnya juga di Batu Pahat.

"Teman lelaki saya bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang elektronik di Kuala Lumpur tiba di Tangkak, semalam, namun disebabkan tidak mempunyai wang yang cukup memaksanya tinggal sementara di bilik saya.

"Dia akan segera pulang ke kampung sebaik sahaja terima wang kiriman daripada ibunya," ujar wanita itu ketika ditemui pemberita semasa operasi cegah maksiat sekitar Ledang malam tadi, dalam usaha memujuk anggota PPADL melepaskannya.

Difahamkan wanita berkenaan yang baru menyewa bilik itu hampir sebulan lalu, dilihat kerap membawa teman lelakinya datang ke bilik tersebut pada waktu malam.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota PPADL memeriksa bilik di rumah berkenaan.

"Penguat kuasa hanya menunggu kira-kira lima minit sebelum wanita itu membuka pintu. Pemeriksaan lanjut di bilik itu menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar pendek dan pasangannya juga memakai baju-T dan berseluar pendek bersembunyi di belakang pintu," katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan dibawa ke Balai Polis Tangkak sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin keluarga masing-masing.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 31 MAC 2013

Tiada ulasan: