TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Mac 2013

22 KELUARGA MISKIN TERIMA BANTUAN PPKB

IR. Hamim Samuri (baris belakang, dua dari kanan) bersama penerima bantaun sewa rumah di Taman Megaria dekat Tangkak, Ledang, kelmarin 
 
LEDANG 27 Mac - Sebanyak 22 keluarga miskin yang berdaftar di bawah Majlis Daerah Tangkak (MDT) akan menerima bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dalam tahun ini.

Ahli Parlimennya, Ir. Hamim Samuri berkata, mereka yang menerima bantuan sewa rumah itu membabitkan 13 keluarga Melayu, lapan (India) dan satu (Cina) yang masing-masing berpendapatan bawah RM2,300 sebulan.

"PPKB merupakan bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Diharap dengan adanya bantuan ini dapat meringankan beban dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka serta terkeluar daripada garis kemiskinan.

"Program ini adalah di bawah pengurusan Jabatan Pembangunan Masyarakat MDT. Ini bertujuan membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar dalam meningkatkan kualiti hidup, di samping mengurangkan beban tanggungan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Tangkak C3 Taman Megaria 1, 2 dan 3 serta Penyerahan Bantuan Sewa Rumah PPKB Peringkat MDT 2013 di balairaya taman itu di sini kelmarin.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Daerah Ledang merangkap Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin.

Mengenai program anti denggi, Hamim berkata, pihak pengurusan MDT bersama Pejabat Kesihatan Daerah Ledang dan beberapa jabatan lain turun padang ke kawasan perumahan itu bagi mengadakan kempen kebersihan dan pengindahan landskap.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 MAC 2013

Tiada ulasan: