DAP mimpi kosong – MB
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
MUAR 5 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, DAP hanya memasang angan-angan dan mimpi kosong untuk menawan satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.
Beliau yakin rakyat Johor tidak akan menerima parti pembangkang sama ada DAP, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana telah terbukti Barisan Nasional (BN) banyak membawa pembangunan pesat kepada rakyat negeri ini.
“Itu hanya mimpi kosong (DAP)...saya yakin tidak ada peluang untuk DAP mendapat tempat di Johor ini walaupun sama ada di peringkat Parlimen atau DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan lebih 100 pekebun sayur berketurunan Tionghua di Bangunan Persatuan Fui Chew, Jalan Panggung Wayang Lama Tangkak, dekat sini malam tadi.
Majlis anjuran Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Daerah Muar Utara itu turut dihadiri calon BN Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan calon BN DUN Tangkak, Goh Tee Tee.
Abdul Ghani yang juga calon BN di DUN Serom diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika melawat Johor kelmarin bahawa DAP mampu memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN pada pilihan raya umum kali ini.
Beliau yakin sokongan yang diterima oleh BN di negeri itu sentiasa meningkat menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Katanya, BN Johor sentiasa dalam keadaan terbaik untuk memenangi semua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan di negeri itu berikutan semua jentera telah bergerakan sepenuhnya.
“Apabila jentera BN bergerak sepenuhnya, kita mendapat kesan dan sokongan yang lebih meyakinkan sama ada di kawasan yang sememangnya kubu kuat BN bertambah, manakala sokongan pengundi di kawasan yang sokongannya dikatakan sederhana bertambah baik.
“Bagi kawasan yang dulunya memerlukan kita bekerja kuat, BN telah mengatur langkah untuk memperkuatkan pengaruh di kawasan itu dan nampaknya, peluang kita lebih cerah memenangi kerusi-kerusi berkenaan,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)
Collaboration request
7 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan