PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

JOHOR YAKIN JADI NEGERI PALING MAJU

Johor yakin jadi negeri paling maju

MUAR (17 Feb 2008): Johor yakin muncul negeri paling maju di negara ini dalam tempoh lima tahun, berikutan kejayaannya mencatat jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan terbesar tiga tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata jumlah pelaburan diterima negeri ini mampu mencapai pembangunan ekonomi terbaik yang membolehkannya muncul sebagai negeri termaju di negara ini.

Katanya, projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) juga dijangkakan menerima pelaburan dan perkhidmatan pada paras yang tinggi, sekali gus membantu usaha memajukan lagi negeri ini.

“Kita yakin boleh mencapai sasaran (termaju) selepas kejayaan menerima pelaburan dari luar dan dalam negara yang tertinggi selama tiga tahun berturut-turut," katanya ketika berucap di Majlis Perayaan Tahun Baru Cina 2008 anjuran MCA Bahagian Ledang dan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Cina Tangkak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Ming 1, Tangkak di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Datuk Yap Chik Dong; Adun Gambir, M Asojan dan Pengerusi MCA Ledang, Goh Tee Tee.

Abdul Ghani berkata, kejayaan pelaburan dan WPI itu menjanjikan pembangunan yang menyeluruh di negeri ini dan semua masyarakat akan dapat menikmatinya tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar atau di luar bandar.

Katanya, walaupun WPI terletak di kawasan Johor Bahru, kesan pembangunannya akan dirasai dan sampai ke semua daerah lain di negeri ini termasuk Tangkak.

Beliau berkata, WPI akan memberikan impak ekonomi meluas kerana ia menjadi pusat utama pertumbuhan ekonomi negeri ini.

"Jangan kita fikir WPI hanya di Johor Bahru kerana sebenarnya kita akan nampak pertumbuhannya berlaku menyeluruh dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang ekonomi Johor akan terus berkembang pesat," katanya.

Tiada ulasan: