PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

LEBIH 200 PENDUDUK PARIT HAJI IDRIS SAMBUT MAULIDUR RASUL

Lebih 200 penduduk Parit Haji Idris sambut Maulidur Rasul

MUAR 15 April - Lebih 200 penduduk Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir dekat sini mengikuti ceramah agama sempena sambutan Maulidur Rasul 1429 Hijrah di pekarangan masjid kampung itu kelmarin.

Ceramah yang disampaikan penceramah bebas, Zakaria Muhammad itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Masjid Jamek kampung berkenaan dan turut dihadiri Penghulu Mukim Grisek, Abdul Latif Ahmad, Penggerak Masjid dan Surau Gambir, Jamal Diman dan Ketua Kampung Parit Haji Idris, Ismail Sitam.

Dalam ceramahnya, Zakaria berkata, umat Islam di Johor sepatutnya berasa bertuah kerana dapat mengadakan sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad dalam suasana yang aman tanpa sebarang kacau-bilau.

"Kita mengadakan sambutan ini setiap tahun untuk menunjukkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad walaupun kita tidak pernah bertemu dengan baginda.

Membanteras"Bagi menghayati semangat perjuangan Rasulullah, umat Islam digesa membanteras perkara-perkara yang berlaku pada Zaman Jahiliah seperti seks bebas dan buang bayi yang kerap berlaku ketika ini," katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu memantau anak-anak supaya sentiasa menerap dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka sebagai penangkis kepada gejala tersebut.

Katanya, anak-anak perlu diingatkan agar melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan menunaikan solat dan mendekati masjid serta surau.

"Kita sebagai ibu bapa perlu sama-sama dengan anak-anak untuk mendekati masjid dan surau dengan mengerjakan solat berjemaah kerana fadilat solat berjemaah sangat banyak.

"Selain itu, tiga kaedah untuk panjang umur bagi melakukan ibadat kepada Allah ialah memperbanyakkan sedekah, mendoakan orang yang telah meninggal dunia dan sentiasa menyayangi dan menghormati ibu bapa," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: