PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

TANGKAK JADI LEMBAH ILMU INDUSTRI DI JOHOR

Tangkak jadi Lembah Ilmu Industri di Johor

TANGKAK 4 Mac - Bandar Tangkak yang bersempadan dengan negeri Melaka bakal berubah wajah menjadi sebuah Lembah Ilmu dan perindustrian terkemuka di utara Johor menjelang 2020.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Aminah Ahmad berkata, pelan pembangunan mengenainya telah pun diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) berikutan langkah menaik taraf Tangkak daripada daerah kecil menjadi daerah Ledang akhir tahun lalu.

Menurutnya, pelan pembangunan itu disediakan Majlis Daerah Ledang (MDL) dan pelaksanaannya akan bermula tidak lama lagi.

"Ia akan dilaksanakan selepas kerajaan melancarkan secara rasmi Tangkak menjadi sebuah daerah penuh tidak lama lagi," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Daerah Ledang mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Ledang dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing Serom, Tangkak dan Gambir.

Calon BN yang bertanding di kerusi Parlimen Ledang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini ialah Hamim Samuri, manakala Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mempertahankan kerusi DUN Serom, M. Asojan di DUN Gambir dan Goh Tee Tee di DUN Tangkak.

Aminah berkata, pada peringkat permulaan beberapa pusat pengajian telah dibina di daerah itu termasuk Institut Kemahiran Tinggi Mara.

Beliau berkata, difahamkan beberapa institusi pengajian tinggi swasta juga telah menyatakan minat untuk membuka kampus cawangan mereka di kawasan itu tidak lama lagi.

Mengenai perindustrian, beliau berkata, pada peringkat permulaan daerah Ledang telah pun mempunyai tapak perindustrian ekoran kemasukan Tanjung Agas dalam wilayahnya.

"Tanjung Agas yang sebelum ini ditadbir oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) memang terkenal sebagai pusat perindustrian utama di utara Johor," katannya.

Selain itu, sebuah lagi tapak perindustrian telah dikenal pasti oleh MDL berhampiran bandar Tangkak.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Fahariyah Md. Nordin yakin daerah Ledang akan lebih maju menjelang 2020 sekiranya semua pengundi memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN.

"Ini kerana hanya kerajaan BN yang mampu membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Md. Zan Abu pula berkata, identiti Tangkak yang terkenal dengan perniagaan tekstilnya tidak akan terjejas ekoran langkah kerajaan menaik taraf menjadi sebuah daerah.

Sebaliknya, kerajaan akan memajukan lagi perniagaan tersebut dengan menjadikannya salah satu produk terpenting industri pelancongan di Ledang.

"Selain tekstil, daerah ini juga popular dengan buah durian dan menjadi tumpuan pelancong pada setiap musim buah-buahan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: