PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

EKSPERIMEN BOLEH MUSNAHKAN NEGARA

Eksperimen boleh musnahkan negara

MUAR 29 Feb. – Kemajuan yang dikecapi oleh negara sejak 50 tahun setelah mencapai kemerdekaan akan hilang begitu sahaja sekiranya rakyat cuba membuat eksperimen dengan memberi peluang kepada parti pembangkang untuk memerintah negara ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, eksperimen rakyat biarpun untuk tempoh sepenggal bagi memberi peluang kepada pembangkang memerintah akan menggagalkan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memimpin negara ini secara berterusan sehingga membawa kepada kejayaan yang ada pada hari ini.

Beliau berkata, hasrat Malaysia untuk maju menjelang tahun 2020 yang hanya tinggal 12 tahun lagi juga tidak dapat dicapai sekiranya rakyat berani mengambil risiko itu.

“Tempoh 50 tahun itu tidak sepatutnya dikorbankan dengan eksperimen untuk sepenggal sekalipun kerana ia akan mewujudkan suasana yang tidak menentu termasuk kestabilan politik atau ekonomi.

“Amat penting BN terus memerintah negara ini jika dilihat dari sudut pelaburan kerana ia memerlukan keselarasan politik serta dasar ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Keibubapaan dan Bangunan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Legenda Tangkak dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kemas negeri, Azman Yusof; calon BN bagi Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Goh Tee Tee.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi BN Johor dan calon kerusi DUN Serom mengulas kenyataan Presiden BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa sebarang eksperimen untuk memilih parti pembangkang memerintah, walaupun hanya sepenggal, boleh mendatangkan risiko buruk kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Perdana Menteri menegaskan, proses menubuhkan kerajaan sebenarnya bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main sehingga memerlukan eksperimen politik.

Abdul Ghani berkata, sekiranya berlaku eksperimen, suasana yang tiada menentu akan wujud membabitkan perubahan dasar dan ia akan membawa gangguan kepada arus pembangunan negara.

“Pembangunan terencat ini juga akan mengakibatkan segala apa yang telah kita laksanakan termasuk pembangunan, dasar, kestabilan ekonomi serta politik sejak 50 tahun lalu akan hilang begitu saja,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jentera pilihan raya di seluruh Johor tetap berjalan lancar walaupun pembangkang menggunakan kempen menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan BN.

Beliau berkata, rakyat harus sedar kerajaan BN yang memerintah negara ketika ini bersikap adil serta memberi peluang sama rata terhadap semua kaum untuk menikmati kemajuan dan pembangunan negara.

"Malaysia adalah satu-satunya negara yang rakyatnya di pelbagai peringkat dapat mengecapi kemajuan dan kemakmuran ekonomi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Mac 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: