PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

JUMPA AHLI LEBIH KERAP

Jumpa ahli lebih kerap

Oleh Suffian Abu Bakar


HAMIM Samuri (kiri) bertanya sesuatu kepada Foo Jong Hwa ketika melawat penduduk di pekan Bukit Kangkar, Muar, kelmarin.


MUAR 28 Mac - Semua pemimpin UMNO di Johor terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diarahkan berjumpa dengan semua ahli di peringkat akar umbi bagi menjelas dan meningkatkan moral mereka berikutan prestasi teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, tahap moral di kalangan ahli semakin menurun ekoran kekalahan teruk yang dialami BN di beberapa kawasan dan ia memerlukan pemimpin parti berjumpa dan berbincang mengenai masalah itu.

Katanya, tsunami politik yang melanda negara dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 turut membabitkan Johor apabila enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen di Johor tumbang kepada DAP dan Pas.

"Kerajaan BN di Johor perlu berjumpa dengan ahli di setiap peringkat akar umbi lebih kerap selepas ini untuk melihat dan mendengar permasalahan mereka.

"Saya sendiri akan berjumpa dengan pengundi di seluruh negeri tidak lama lagi bagi menjelaskan kepada mereka kenapa tsunami politik ini berlaku dan puncanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tangkak, dekat sini malam tadi sebaik sahaja kembali dari menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu negara, semalam.

Abdul Ghani berkata, walaupun BN dan UMNO di Johor tidak mengalami kesan tsunami politik yang ketara, namun setiap pemimpin perlu mendekati masyarakat di peringkat akar umbi bagi mengenal pasti luahan hati mereka.

Pada masa yang sama, Pengerusi BN negeri itu berkata, BN perlu terus mengorak langkah untuk memperkuatkan jentera di kalangan ahlinya.

Sebagai contoh, usaha menarik minat golongan muda untuk menyokong parti itu perlu diteruskan kerana ia penting bagi menjamin kekuatan BN pada masa depan, katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri pula berkata, beliau akan melaksanakan segera saranan Menteri Besar untuk menemui penduduk kerana ia penting bagi mendekatkan masyarakat dan pemimpin.

Beliau juga telah mengadakan lawatan ke Bukit Kangkar di sini semalam untuk bertemu dengan penduduk di kawasan itu selain mendengar masalah mereka.

Dalam lawatan itu, beliau sempat menemui seorang warga emas berketurunan Tionghoa, Foo Jong Hwa, 64, yang menderita sakit kencing manis, angin ahmar dan tidak mampu berjalan sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Saya akan memaklumkan permasalahan warga emas itu kepada pemimpin BN setempat bagi mencari dana untuk membiayai pesakit ini yang terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: