PENGUNJUNG SETIA

27 April 2008

NELAYAN RESAH PERAIRAN KAMPUNG DIPENUHI LUMPUR

Nelayan resah perairan kampung dipenuhi lumpur

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 22 April - Hampir 200 nelayan di Kampung Kesang Laut dan Kampung Parit Karang di sini meminta campur tangan pihak berkuasa bagi mengatasi masalah lumpur yang didakwa dibuang oleh syarikat pengorek pasir di kawasan perairan kedua-dua kampung tersebut sejak awal tahun ini.

Menurut mereka, kegiatan mengorek pasir yang dijalankan oleh sebuah syarikat di kuala Sungai Kesang itu mengakibatkan lebihan lumpur dibuang di perairan mereka.

Tidak tahan dengan masalah itu, nelayan terbabit yang diketuai Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Kesang Laut, Samah Molok hari ini mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri bagi mendapatkan bantuan.

Menurut Samah, 53, kegiatan pembuangan lumpur itu bermula sejak Januari lalu selepas syarikat terbabit diberikan kontrak untuk mendalamkan perairan Sungai Muar.

"Berikutan kegiatan itu, kami telah membuat laporan kepada pihak yang berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

"Wakil rakyat sendiri boleh melihat kesan pembuangan lumpur di kawasan ini sehingga mengotorkan perairan sungai ini disebabkan kegiatan tersebut," katanya.

Sementara itu, Hamim yang mengadakan lawatan ke projek pembinaan skim rumah penduduk kawasan itu terkejut melihat longgokan lumpur yang dapat dilihat dalam jarak kira-kira satu batu nautika dari perairan sungai terbabit.

Beliau berkata, perkara itu akan diajukan kepada kerajaan negeri dan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan pembuangan lumpur itu tidak menjejaskan pendapatan para nelayan di kawasan itu.

"Nelayan di kawasan ini meminta supaya kerja-kerja mengorek pasir itu dijalankan seberapa jauh yang mungkin dari kawasan ini agar lumpur tidak dibuang sewenang-wenangnya di perairan sungai selain mencemar habitat," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 23 April 2008  (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: