PENGUNJUNG SETIA

28 April 2008

PEMUDA LANGGAR MOTORSIKAL DITAHAN

Pemuda langgar motosikal ditahan

MUAR 24 April - Seorang pemuda ditahan kerana bertindak melarikan diri dan melanggar dua motosikal dalam satu kejadian di pekan Bukit Gambir dekat sini awal pagi semalam.

Suspek berusia 25 tahun itu diberkas di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Simpang Lima Darat pukul 2 pagi setelah melarikan diri dengan meninggalkan Proton Waja yang dipandunya.

Sebelum itu, suspek merempuh pagar rumah seorang penduduk di Taman Chempaka selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang penduduk kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, sebaik menerima laporan itu sepasukan polis pergi ke tempat kejadian dan mendapati suspek melarikan diri ke arah Bukit Gambir.

"Suspek tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti sebaliknya bertindak melanggar dua buah motosikal di kawasan tersebut,'' katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun kata Mohammad Nasir, suspek terpaksa berhenti apabila keretanya dikepung polis tetapi suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau ketika Ketua Polis Balai Bukit Gambir, Sarjan Mejar Samsudin Saad menghampirinya.

Katanya, Samsudin bertindak menembak tayar depan kereta suspek yang ketika cuba melanggarnya.

"Dalam keadaan tayarnya yang sudah pecah, suspek sempat memecut kenderaannya dan memasuki ladang kelapa sawit di Kampung Simpang Lima Darat, kira-kira lima kilometer dari pekan itu.

"Gerakan memburu yang dilancarkan kemudiannya berjaya menahannya serta menemui sebilah pisau yang digunakannya," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 25 April 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: