PENGUNJUNG SETIA

25 April 2008

SEMUA PBT DIMINTA SEDIA TAPAK PERKHEMAHAN

Semua PBT diminta sedia tapak perkhemahan

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


ABDUL Ghani Othman (kanan) mendengar taklimat yang disampaikan Pengurus Kem Remaja Seri Gelam, Mohd. Razik Abdul Jalil ketika melawat kem itu di Sengkang dekat Muar, kelmarin.

MUAR 20 April - Kerajaan negeri meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menyediakan tapak perkhemahan yang sesuai untuk golongan remaja menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan tersebut.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pihaknya pernah mengeluarkan arahan itu kira-kira empat tahun lalu, namun tidak banyak PBT yang menyediakan kemudahan tersebut.

Menurut beliau, kemudahan tapak perkhemahan itu boleh dimanfaatkan oleh bukan sahaja golongan remaja malah boleh digunakan oleh pihak sekolah serta industri kilang mengadakan aktiviti berkenaan.

"Saya telah mengarahkan agar semua PBT mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai bagi membina tapak perkhemahan dan kita akan memeriksa sama ada projek tersebut dilaksanakan.

"Kerajaan Johor mahu setiap PBT sekurang-kurangnya menyediakan satu tapak perkhemahan bagi memberi kemudahan kepada golongan remaja melaksanakan pelbagai aktiviti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kem Remaja Seri Gelam di Sengkang, Bukit Gambir dekat sini semalam.

Menurut Abdul Ghani, kegiatan perkhemahan boleh dilaksanakan mengikut kaedah negara Barat seperti kem musim panas dan pada masa yang sama, ia juga boleh diadakan pada setiap hujung minggu.

Katanya, pengendali kem di negara Barat sering mengadakan pelbagai aktiviti perkhemahan untuk tempoh jangka masa yang panjang sewaktu musim cuti sekolah di negara-negara mereka.

Pada masa yang sama, kata beliau, kemudahan asas yang disediakan di setiap tapak perkhemahan itu perlu dilengkapkan termasuk bekalan tenaga elektrik dan air.

Tambahnya, selain kem remaja di Sengkang, pihaknya turut mengesan satu lokasi yang sesuai untuk diwujudkan tapak perkhemahan iaitu di sebelah Sekolah Menengah Tun Mamat di Tangkak yang turut mempunyai sebuah sungai yang jernih.

Selain itu kata beliau, beberapa lokasi lain yang telah sedia mempunyai tapak perkhemahan ialah di Bekok (Labis), Gunung Pulai dan Gunung Lambak (Kluang) dan Gunung Panti (Kota Tinggi).

Abdul Ghani menambah, untuk Kem Remaja Seri Gelam, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM40,000 bagi membolehkan pihak pengurusan menaik taraf segala kemudahan yang diperlukan.

"Kerajaan negeri berharap agar pihak pengurusan mampu meningkatkan taraf kabel kuasa di kawasan ini kepada tiga peringkat supaya lebih banyak tenaga elektrik dapat dibekalkan.

"Pengurusan khemah ini juga perlu membersihkan Sungai Sawah Ring yang terdapat bersebelahan tapak perkhemahan ini bagi mencegah kawasan ini daripada terlibat dalam bencana banjir berikutan tanahnya yang agak rendah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Johor (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: