PENGUNJUNG SETIA

26 April 2008

MANGSA PETIR KEMPUNAN PENGAT KELADI

Mangsa petir kempunan pengat keladi

MUAR 12 April - Allahyarham Mohd. Rafi Abdul Aziz, penoreh getah yang maut akibat disambar petir di Kampung Sri Jaya, Bukit Serampang dekat sini petang kelmarin kempunan menjamah pengat keladi yang dibuat isterinya sebelum ditimpa kemalangan itu.

Mangsa yang berusia 42 tahun meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik selepas melecur di bahagian kepala, telinga dan lebam di bahagian dada berikutan kejadian pada pukul 3.30 petang itu.

Ibu mertuanya, Puziah Ibrahim, 51, berkata, menantunya itu teringin makan pengat keladi yang dibuat oleh isterinya namun tidak sempat menjamah kerana ingin pergi ke kebun getahnya terlebih dulu.

"Allahyarham sempat bertanyakan kepada anak saya, Salimah Sapuwan, 36, sama ada sudah buat pengat keladi itu tetapi anak saya belum menyiapkannya menyebabkan dia keluar ke kebun dulu.

Dalam kejadian petang kelmarin, Mohd. Rafi maut akibat disambar petir ketika sedang mengutip getah di kebun berhampiran rumahnya.

Mangsa ketika itu bersama anak keduanya, Abdul Razak, 16, memasuki kebun getah yang terletak di Simpang Tiga Bukit Serampang, kira-kira 500 meter dari rumahnya, sejam sebelum kejadian.

Menurut Puziah, menantunya itu pergi ke kebun untuk melihat getah yang ditoreh pada sebelah pagi untuk menukar cawan bagi susu getah yang sudah penuh sebelum hujan turun dengan lebat, diikuti ribut petir.

"Ketika berada di bawah pokok, mangsa disambar petir yang menyambar pokok tersebut lalu rebah.

"Namun ketika itu dia masih sedar tetapi tidak boleh bercakap dan cucu saya yang berada kira-kira 50 meter darinya berlari pulang ke rumah memberitahu kejadian itu kepada saya," katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia 13 April 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: