PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

MB: PENGUNDI BN JOHOR JANGAN KECEWA

MB: Pengundi BN Johor jangan kecewa

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


ABDUL Ghani Othman (tengah) bersalaman dengan tetamu majlis kesyukuran Pilihan Raya Umum Ke-12 Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Tangkak, Muar, malam kelmarin.

MUAR 5 April – Pengundi Barisan Nasional (BN) di Johor diminta agar tidak terlalu kecewa berikutan kekalahan tujuh kerusi termasuk satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, sebaliknya terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, rakyat perlu terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada BN untuk berjuang membela nasib mereka, berikutan kejayaan parti itu mentadbir negara sejak 50 tahun lalu.

“Berilah kepercayaan kepada BN untuk menghadapi masalah tersebut (kekalahan teruk pilihan raya umum) dan saya meminta rakyat jangan sesekali patah semangat untuk terus berjuang dalam parti.

“Pengundi BN diharapkan agar terus memberi sokongan kepada parti dan pada masa yang sama, kita semua perlu memastikan semangat perpaduan dapat diperkukuhkan kerana ia adalah asas kekuatan kita,” tegasnya.

Abdul Ghani merangkap Pengerusi BN Johor berkata demikian ketika berucap di hadapan 1,500 hadirin pada majlis sambutan kesyukuran sempena kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 peringkat Parlimen Ledang di Dataran Dewan Jubli Intan Tangkak dekat sini, malam tadi.

Turut hadir semua pemimpin BN yang menang bagi kerusi Parlimen Ledang iaitu Ahli Parlimennya, Ir. Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee dan ADUN Gambir, M. Asojan.

BN Ledang mencatat kemenangan bersih pada pilihan raya umum lalu bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen termasuk Abdul Ghani yang mempertahankan kerusi DUN Serom.

Namun, menurut Abdul Ghani, keputusan pilihan raya umum lalu di seluruh negara dilihat mencatatkan satu ‘kelainan’ apabila lima negeri jatuh ke tangan pembangkang, selain Johor sendiri kehilangan enam kerusi DUN dan satu Parlimen.

Selain kerusi Parlimen Bakri, enam lagi kerusi DUN di Johor yang dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Enam DUN tersebut ialah Senai (DAP), Bentayan (DAP), Skudai (DAP), Mengkibol (DAP), Maharani (Pas) dan Sungai Abong (Pas).

Abdul Ghani berkata, rakyat Johor juga yang rata-rata merupakan pengundi setia BN bersyukur kerana negeri ini tidak menghadapi kekalahan teruk seperti negeri-negeri lain, malah mampu menyumbang kemenangan sebanyak 25 kerusi Parlimen dan 50 kerusi DUN untuk membolehkan BN membentuk kerajaan Pusat dan negeri.

Katanya, untuk itu, kekalahan teruk parti di negeri-negeri lain sepatutnya dijadikan pengajaran kepada BN termasuk rakyat Johor bahawa pentingnya perpaduan dan semangat bersatu padu semua kaum itu dipertahankan.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: