PENGUNJUNG SETIA

22 Mei 2010

5 PELATIH PLKN HIDAP H1N1


SEORANG petugas keselamatan menutup pintu pagar PLKN Kem Sri Ledang di mana beberapa pelatih didapati positif H1N1 dan terpaksa dikuarantin di Tangkak, Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad.


LEDANG 21 Mei - Seramai lima pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Tangkak di sini disahkan menghidap selesema babi atau influenza A (H1N1) manakala 60 yang lain kini dikuarantin kerana menghidap penyakit serupa influenza (ILI).

Kesemua mereka kini diasingkan dan dikuarantin di sebuah bangunan di kem berkenaan manakala seorang pelatih yang menghidap H1N1 kini menerima rawatan di Hospital Tangkak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robia Kosai berkata, pelatih-pelatih yang terjejas kesihatan mereka itu melibatkan 44 lelaki dan 21 perempuan.

"Lima yang positif H1N1 ini pula adalah terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan iaitu empat daripada mereka telah pun diasingkan daripada pelatih lain di kem ini manakala seorang lagi dirawat di hospital.

"Pelatih-pelatih ini telah pun diberikan rawatan anti viral dan kami juga giat memantau tahap kesihatan 60 pelatih lain yang mengalami ILI," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Robia, rawatan dan pemantauan yang dijalankan di kem berkenaan melibatkan sepasukan kakitangan Jabatan Kesihatan negeri Johor yang merangkumi Pegawai Kesihatan Daerah, tiga doktor termasuk seorang doktor pakar keluarga dan para anggota paramedik.

"Seramai 40 jurulatih dan 20 kakitangan kem PLKN ini disahkan sihat dan mereka telah pun diberikan suntikan vaksin H1N1.

"Suntikan vaksin turut diberikan kepada pelatih-pelatih yang berisiko menerima jangkitan dan pemantauan berkala dijalankan setiap hari," katanya.

Jelas beliau, kem PLKN yang menempatkan seramai 410 pelatih itu tidak akan ditutup kerana pihaknya telah menjalankan kuarantin bagi mengasingkan pelatih-pelatih selain menempatkan kakitangan Jabatan Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Difahamkan, kes demam pertama yang melibatkan pelatih kem tersebut dikesan pada Isnin lalu sebelum jumlah pelatih yang mengalami simptom yang sama bertambah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 MEI 2010

Tiada ulasan: