TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2010

MAEL XPDC KENA RM500

Oleh Junita Mat Rasid

TANGKAK: Akibat mengajar anak, vokalis kumpulan rock XPDC, Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencederakan anak perempuannya berusia 16 tahun di rumah isterinya di Tanjung Agas, 9 Mei lalu.

Mael, 42, yang lebih dikenali sebagai Mael XPDC, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Salina Omar.


Dia didakwa dengan sengaja melakukan cedera kepada anaknya di sebuah rumah di Jalan Ahmad, Tanjung Agas, pada jam 7.30 malam sebelum dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhil Mat Satris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Muhammad Fadhil dalam hujahnya, berkata pengadu dalam kes itu adalah isteri tertuduh sendiri yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati, Isnin lalu dengan mendakwa tertuduh memukul anak perempuannya di bahagian tangan dan kaki dengan menggunakan sebatang rotan serta tangan.


Susulan daripada laporan itu, pasukan polis menahan Mael di rumahnya di Jalan Kim Kee, Muar, kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu.


Mael dalam rayuannya, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung lima anak.


Terdahulu di mahkamah sama, Mael turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis ‘Tetrahydrocannabinol’ kepada diri sendiri ketika ditahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau dikenakan penjara sehingga dua tahun dan pengawasan mengikut Seksyen 38B dan dibaca bersama Seksyen 6 Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) sehingga tiga tahun.

Bagi kesalahan itu mahkamah menetapkan 21 Jun untuk sebutan semula kes berikutan belum menerima laporan ujian dadah dan dibebas dengan jaminan RM2,500.

SUMBER: HARIAN METRO, 18 MEI 2010

Tiada ulasan: