PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2010

BUKIT GAMBIR JUARA SULUNG

Oleh Jamaludin Husin

PASUKAN bola jaring Zon Bukit Gambir muncul juara Pertandingan Bola Jaring Muhibah Pembantu Pengurusan Prasekolah Daerah Muar/Ledang 2010, selepas menewaskan Zon Parit Bunga dengan jaringan 6-4 dalam perlawanan akhir baru-baru ini.

Tempat ketiga dimenangi Zon Sungai Balang selepas menewaskan Zon Maharani 2-1 dalam penentuan di Padang Sekolah Kebangsaan Parit Bunga Ledang.


Pertandingan julung kali itu dianjurkan Badan Kebajikan Pembantu Pengurusan Prasekolah Daerah Muar/Ledang bertujuan mengeratkan silaturahim antara pasukan membabitkan enam zon di dua daerah berkenaan.


Pengerusi pertandingan, Khatijah Salleh, berkata enam pasukan mewakili zon daerah Muar dan Ledang menyertai pertandingan termasuk pasukan dari Zon Tangkak dan Lenga.


Katanya, Badan Kebajikan ditubuhkan awal tahun ini bertujuan membolehkan ahlinya yang bertugas di prasekolah berinteraksi dengan lebih kerap melalui kegiatan kebajikan termasuk bola jaring.


“Memandangkan perlawanan persahabatan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta, kami bercadang menjadikannya acara tahunan.

“Selain itu, beberapa program lain diatur dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk sukan prasekolah di peringkat zon dan daerah,” katanya yang juga Pengerusi Badan Kebajikan itu selepas perlawanan akhir.

SUMBER: HARIAN METRO, 21 MEI 2010

Tiada ulasan: