PENGUNJUNG SETIA

26 Mei 2010

TENAGA PENDIDIK BERKUALITI JANA PENDAPATAN TINGGI


MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan Tokoh Guru Daerah Muar dan Ledang 2010, Jamian Jaffar sambil diperhati oleh Ramli Abd. Samat (tiga dari kiri) bersama tiga lagi penerima anugerah di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, semalam. – Bernama


MUAR 25 Mei – Negara amat memerlukan tenaga pendidik yang berkualiti tinggi bagi mencapai matlamat meningkatkan tahap pendapatan rakyat daripada kelas sederhana kepada kelas tertinggi seperti digariskan dalam Model Baru Ekonomi (MEB).

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggungjawab warga pendidik adalah begitu penting dalam melahirkan modal-modal insan yang berkepakaran dan berkemahiran tinggi bagi menjana sektor ekonomi negara.

Katanya, kerajaan begitu komited untuk memartabatkan profesion guru supaya kesemua guru yang bertugas adalah berkelayakan dan dapat memberi impak yang besar.

“Kita memerlukan tenaga modal insan yang mencukupi agar boleh membantu negara menjadi negara yang berpendapatan tinggi dan menjana sektor ekonomi menjadi lebih maju.

“Sehubungan itu, tanggungjawab warga pendidik menjadi lebih penting dan kita mahu profesion ini ditingkatkan lagi supaya setiap ilmu dapat disampaikan lebih berkesan,” katanya berucap pada majlis bersama warga pendidik daerah Muar dan Ledang di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Ramli Abd. Samat; Ahli Dewan Undangan Negeri Jorak, Datuk Dr. Shaharuddin Salleh serta para pemimpin masyarakat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pihaknya telah menggariskan pelbagai langkah untuk meningkatkan profesion guru dari semasa ke semasa.

“Para guru memerlukan kepakaran dan kemahiran lebih daripada biasa agar mereka terlatih dalam bidang tertentu atau disebut opsyen seperti Sains dan Matematik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menambah bilangan 27 institusi perguruan di negara ini dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk melahirkan lebih ramai guru berkualiti.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada warga pendidik di daerah ini. Mereka ialah Tokoh Guru Daerah Muar dan Ledang 2010, Jamian Jaffar, Tokoh Guru Kokurikulum (Badan Beruniform),Kadir Ab Majid, Tokoh Guru Sukan/Permainan, Ramlan@Mazlan Hamzah, Tokoh Guru Sukan (Kepimpinan), Abd. Aziz Mohamed.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2010

Tiada ulasan: