PENGUNJUNG SETIA

25 Mei 2010

SINAR HARIAN LEBARKAN SAYAP

JOHOR BAHRU - Sinar Harian, akhbar komuniti nombor satu negara akan mengorak langkah melebarkan sayapnya menerbitkan edisi Johor yang dijangka dilancarkan pertengahan Jun ini.

Sinar Harian yang telah dikenali di negeri lain sebelum ini, terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan menemui masyarakat Johor dalam masa terdekat dengan harapan sambutan yang bakal diterima mencapai sasaran dan menempati kehendak masyarakat negeri ini.

Maklum balas yang diterima bertanyakan bila akhbar ini akan dilancarkan di Johor, jelas menunjukkan akhbar ini mendapat perhatian warga negeri ini yang ternanti-nanti akan kemunculannya.

Memulakan langkah dengan pembinaan kilang di kawasan perindustrian Senai, ia telah mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan dan kilang terbabit kini telah pun beroperasi secara tidak rasmi pada Mac lalu.

Operasi dilakukan bertujuan persediaan awal terutama dari segi kelancaran mesin cetak dan juga dari segi editorial bagi mengelakkan berdepan dengan masalah apabila dilancarkan kelak.

Mempunyai keluasan kawasan 36 meter (lebar) dan 90 meter (panjang), kilang ini dilengkapi penyediaan empat pengawal keselamatan yang akan memantau kilang terbabit selama 24 jam secara bergilir-gilir.

Menjadi harapan besar Penerbit Eksekutif akhbar ini, Akmal Eirfan Mohd Fauzi, Penasihat Eksekutif Editorial, Abdul Jalil Ali dan Ketua Pengarang, Norden Mohamed agar sambutan yang bakal diterima menjadi lebih baik daripada edisi sebelumnya.

Tempoh masa yang agak lama diambil untuk membuka edisi Johor adalah bagi mengukuhkan dan memantapkan pengisian akhbar ini, selain menjamin kualiti terbaik dari pelbagai sudut.

Mempunyai kira-kira 50 pekerja di kilang terbabit termasuk bahagian editorial, pengoperasian mencetak akhbar dimulakan pada waktu malam bermula jam 9 malam hingga 6.30 pagi setiap hari.

Membabitkan kos pembinaan kilang sebanyak RM3.5 juta iaitu tidak termasuk kerja-kerja tambahan selepas bangunan disiapkan, kos keseluruhan bagi mesin cetak yang digunakan pula mencecah RM5 juta.

Sinar Harian Edisi Johor yang berharga RM1 senaskhah ini diharap menepati kehendak pembaca di Johor dan menjadi harapan besar seluruh warga kerja Sinar Harian agar penerimaan dan sambutan yang bakal diterima lebih baik daripada jangkaan.

SUMBER: SINAR HARIAN EDISI JOHOR, 25 MEI 2010

Tiada ulasan: