TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Mei 2010

ILI: 274 PELATIH PLKN DIKUARANTIN

LEDANG 25 Mei - Sebanyak 274 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini dikuarantin di bangunan berasingan di enam buah kem PLKN di seluruh negara kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI).

Enam kem yang terlibat adalah Kem PLKN Sri Ledang, Johor yang melibatkan 87 pelatih; Kem Bumimas Sibu, Sarawak (12); Kem Jugra Banting, Selangor (99); Kem Etnobotani Gua Musang, Kelantan (30); Kem Cancun Park Pasir Mas, Kelantan (36) dan Kem PTH Kluang, Johor (10).

Selain pelatih yang dikuarantin di dalam kem, enam pelatih lain yang menghidap ILI termasuk seorang yang baru pulih selepas didapati positif selesema babi atau Influenza A (H1N1) dikuarantin di Hospital Tangkak di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (gambar) berkata, keadaan di kem terlibat adalah terkawal dan setakat ini tiada pelatih yang disahkan positif H1N1.

Beliau berkata, para pelatih yang disahkan mengalami ILI diasingkan di sebuah bangunan di kem masing-masing dengan rawatan dan pemantauan kesihatan dijalankan oleh para doktor dan kakitangan Jabatan Kesihatan.

"Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik membawa keluar anak masing-masing dari kem PLKN kerana pengurusan kesihatan ILI adalah lebih baik dijalankan di kem PLKN.

"Kami memiliki doktor dan kakitangan perubatan yang bertugas secara berjadual bagi memberi rawatan dan ubat di samping kebersihan kem yang terjamin," katanya selepas melawat para pelatih yang dikuarantin kerana mengalami ILI di Hospital Tangkak di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan PLKN pada tahun ini telah memutuskan supaya pelatih yang dijangkiti ILI atau H1N1 dirawat di kem masing-masing.

"Pada tahun lalu, kita menutup sebanyak 42 kem PLKN namun selepas perbincangan dibuat dengan pihak Jabatan Kesihatan, langkah itu sebenarnya tidak berkesan dalam mengawal wabak tersebut daripada menular," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi memberitahu, enam pelatih Kem PLKN Sri Ledang yang dikuarantin di Hospital Tangkak berada dalam keadaan stabil dan dijangka pulih pada waktu terdekat.

"Daripada enam pelatih ini, lima dirawat sebagai ILI manakala seorang pelatih lelaki disahkan positif H1N1 namun telah disahkan pulih.

"Salah seorang daripada pelatih yang dijangkiti ILI telahpun sihat dan dibenarkan pulang ke kem dan kami juga menjangka keadaan beransur baik di kalangan pelatih lain," katanya.

Katanya, kes ILI pertama yang direkodkan di Kem PLKN Sri Ledang adalah pada 17 Mei lalu dan pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi mengawal keadaan.

Pada masa ini, kira-kira 31,000 pelatih kecuali yang mendapat pelepasan awal untuk melanjutkan pelajaran sedang menjalani latihan di Kem PLKN di seluruh negara dan dijangka menamatkan latihan pada 11 Jun ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2010

Tiada ulasan: