PENGUNJUNG SETIA

22 Mei 2010

PELATIH PLKN KEM SRI LEDANG DIKUARANTIN, 5 HIDAP H1N1

MUAR: Program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sri Ledang, dekat sini, yang menempatkan 410 pelatih, dikuarantinkan selepas lima pelatih disahkan mengidap influenza A (H1N1), manakala 60 lagi pelatih disahkan mengalami penyakit sama influenza (ILI).

Lima pelatih itu disahkan menghidap H1N1, semalam selepas dipercayai demam sejak kira-kira seminggu lalu menyebabkan seorang daripadanya dirawat di Hospital Tangkak, manakala empat lagi dikenakan tindakan kuarantin di kem berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata maklumat terkini yang diterimanya mengesahkan 65 pelatih Kem Sri Ledang membabitkan 44 lelaki dan 21 perempuan mengalami gejala ILI sebelum lima daripadanya, iaitu tiga lelaki serta dua wanita disahkan positif H1N1.

Sehubungan itu, katanya, semua pelatih itu kini dikenakan perintah kuarantin kecuali seorang pelatih yang dirawat di Hospital Tangkak dan keadaanya dilaporkan stabil dengan turut diberikan suntikan Tamiflu.

“Semua 64 pelatih dikenakan isolasi di dalam kem berdasarkan keadaan demam mereka dengan dipantau oleh Jabatan Kesihatan yang dihantar ke kem itu bagi menjalankan pemeriksaan secara berjadual,” katanya selepas meninjau Jeti Sarang Buaya, di sini, semalam.

Katanya, 40 jurulatih dan 20 kakitangan PLKN itu disahkan sihat tetapi turut diberikan vaksin H1N1 sebagai langkah berjaga-jaga, malah semua pelatih berisiko yang belum terdedah dengan jangkitan juga akan diberikan diberikan vaksin H1N1.

Dr Robia berkata, pasukan perubatan diketuai oleh Pegawai Kesihatan Kanan Daerah Ledang, Dr Zaharah Mohd Salleh dengan dibantu seorang doktor pakar dan dua doktor serta paramedik ditugaskan menjalankan pemantauan harian di kem berkenaan.

Katanya, semua pelatih yang disahkan mengidap H1N1 dan ILI itu ditempatkan di bangunan berasingan daripada pelatih lain, manakala kegiatan keluar masuk kem juga dipantau serta dihadkan bagi mengelak penyakit itu tersebar.

Sementara itu tinjauan Berita Harian di kem itu mendapati beberapa kenderaan yang membawa pasukan perubatan turut ditempatkan di kem berkenaan, manakala kakitangannya termasuk pengawal keselamatan turut memakai penutup muka.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 MEI 2010

Tiada ulasan: