PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2010

PERTANDINGAN BERCERITA PUPUK MINAT TERHADAP BI


BARISAN peserta yang menyertai Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris anjuran Wetex Parade di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 12 Mei – Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris (BI) anjuran Kompleks Beli-Belah Wetex Parade di sini baru-baru ini berjaya memupuk minat dan kecenderungan murid untuk menguasai bahasa berkenaan.

Seramai 91 murid menyertainya, namun hanya 20 orang yang berjaya melangkah ke pusingan akhir.

Pertandingan yang dikenali ‘The Little Big Book’ itu dibahagikan pada dua kategori iaitu Fasa 1 untuk murid Tahun 1 hingga 3 dan Fasa 2 bagi murid Tahun 4 hingga 6.

Johan kategori Fasa 1 diraih murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Serom 3, Terence Gan Li Hong, manakala tempat kedua dimenangi C. Jeeviga daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Muar dan ketiga diraih oleh Ian Khoo daripada SK St. Andrew.

Bagi Kategori Fasa 2 pula, Siti Khairina Kad Rusman daripada SK Seri Menanti muncul johan, manakala Sakinah Siraj, pelajar SK Convent Muar dan M. Nantini Devi daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Khalidi masing-masing muncul tempat kedua dan ketiga.

Pengurus Wetex Parade, Mior Abdul Rahman berbangga dengan jumlah penyertaan yang begitu menggalakkan daripada murid di seluruh daerah ini dan Ledang.

“Matlamat penganjuran adalah untuk memupuk sikap suka membaca di kalangan generasi muda di samping membina keyakinan mereka berbicara di khalayak ramai.

“Sememangnya, aspek komunikasi cukup penting dalam dunia profesional masa kini dan perkara itu yang kami ingin bentuk daripada murid-murid terbabit,” katanya.

Biarpun hanya diberi tempoh enam minit untuk bercerita, para peserta telah menunjukkan kreativiti dan turut memakai pakaian bersesuaian dengan konsep cerita.

Program yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Muar itu akan dijadikan acara tahunan dan merupakan aktiviti khidmat komuniti pihaknya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 MEI 2010

Tiada ulasan: