TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Mei 2010

RM1 JUTA KOS RAWATAN HEMODIALISIS UNTUK KAKITANGAN AWAM


ABDUL Ghani Othman secara simbolik melakukan pemulihan Kardiopulmonari (CPR) pada perasmian Program Kesiapsiagaan Kecemasan Peringkat Negeri Johor di Tangkak, Johor, kelmarin.

LEDANG 16 Mei - Kos RM1 juta setahun bagi tujuan rawatan hemodialisis di kalangan kakitangan kerajaan negeri merupakan angka yang amat membimbangkan kerana ia berkait dengan rendahnya kesedaran amalan cara hidup sihat warga negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, peruntukan besar itu jelas menunjukkan jumlah pesakit kronik yang membabitkan masalah buah pinggang adalah ramai dan ia berkait rapat dengan amalan pemakanan yang tidak sihat.

Jelas beliau, masyarakat perlu sedar mengenai kepentingan pemakanan sihat dan amalan kecergasan bagi mengelakkan pelbagai penyakit berisiko tinggi termasuk diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

"Setiap bulan, ada sahaja kes pesakit baru yang memerlukan khidmat rawatan hemodialisis dan jumlah mereka yang menerima bantuan dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sentiasa bertambah.

"Sebenarnya, masalah ini ada kaitan dengan gaya hidup serta pemakanan, saya yakin ia boleh diatasi sekiranya kualiti hidup dan usaha pencegahan penyakit dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Kesiapsiagaan Kecemasan CPR Untuk Komuniti, Satu Rumah Satu Penyelamat peringkat negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robia Kosai; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Menurut Abdul Ghani, pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan perlu sentiasa disebarkan supaya rakyat dapat menjadi lebih sihat dan produktif.

"Kesedaran terhadap pencegahan penyakit ini perlu ditingkatkan kerana 'perubatan pencegahan' adalah jauh lebih baik daripada perawatan semasa sakit," katanya.

Dalam pada itu, menurut Abd. Ghani, program kesiapsiagaan kecemasan yang dianjurkan hari ini merupakan inisiatif Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi memperluaskan pengetahuan bantuan pernafasan pemulihan kardiopulmonari (CPR) di kalangan anggota masyarakat.

"Walaupun teknik asas bantuan ini ada diajar di sekolah-sekolah menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulans namun ia masih belum cukup meluas.

"Matlamat kami adalah supaya setiap keluarga mempunyai seorang ahli yang mempunyai kemahiran ini dan mereka boleh tampil memberi bantuan dalam situasi kecemasan," katanya.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri turut bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membolehkan kemahiran CPR diajar kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 MEI 2010

Tiada ulasan: