TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Mei 2010

PELAJAR, PENUNTUT KOLEJ MENYAMAR POLIS DITAHAN

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

TANGKAK: Dua pelajar, masing-masing Tingkatan Dua dan Tingkatan Lima serta seorang penuntut kolej adalah antara tujuh lelaki yang ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun pekerja asing di daerah ini dan Ledang.

Kumpulan itu yang menjalankan kegiatan mereka sejak Februari lalu, menjadikan kawasan perindustrian dan rumah kongsi pekerja asing sebagai sasaran, ditahan dalam satu operasi khas di sekitar Muar, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata kumpulan itu yang disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun pekerja asing, biasanya bergerak pada waktu malam.

“Modus operandi mereka ialah bergerak menggunakan beberapa motosikal dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum menahan pekerja asing atau mengetuk pintu rumah kongsi dengan alasan mahu membuat pemeriksaan.

“Dalam kejadian terbaru jam 9.45 malam, 28 April lalu, enam daripada mereka yang menaiki lima motosikal menahan seorang pekerja warga Myanmar di kawasan perindustrian Tangkak dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum membelasah dan menyamun wang tunai RM120.

“Kira-kira sejam kemudian, kumpulan itu bergerak ke arah Muar dan singgah di sebuah rumah kongsi di Jalan Tambak Merah, Rawang. Mereka mengetuk pintu rumah kongsi warga Indonesia itu, memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum memukul dan menyamun mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ledang, disini, semalam.

Beliau berkata, kegiatan kumpulan itu berjaya dikesan apabila seorang mangsa mengecam nombor pendaftaran sebuah daripada motosikal yang digunakan suspek. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 20 tahun di Parit Jawa, Muar, kira-kira jam 5 pagi, Sabtu lalu.

“Susulan penahanan suspek pertama itu, polis berjaya mengesan lapan lelaki lain, termasuk seorang warga Indonesia berusia 39 tahun,” katanya.


SUMBER: BERITA HARIAN, 07 MEI 2010

Tiada ulasan: