PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2010

JETI TANJUNG EMAS HAMPIR RUNTUH


KEADAAN Jeti Tanjung Emas di Muar yang digunakan untuk menaiki bot menyusuri Sungai Muar kini terbenam akibat pelampungnya yang bocor.


MUAR 20 Mei - Kegiatan pelancongan menyusuri Sungai Muar dikhuatiri terjejas dengan masalah yang menimpa Jeti Tanjung Emas di sini yang semakin senget dan hampir runtuh.

Difahamkan, struktur jeti berkenaan mengalami masalah berikutan pelampung yang menyokong jeti itu pecah akibat keadaan muara sungai yang semakin cetek.

Masalah tersebut mula dikesan kira-kira dua minggu lalu namun ia menjadi semakin serius apabila jeti berkenaan hampir terbenam dan hanya empat tiang serta laluan ke pelantarnya sahaja yang masih kelihatan.

Dirasmikan pada 13 Ogos 2002 lalu oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, jeti yang bernilai kira-kira RM300,000 itu memainkan pelbagai peranan untuk menggerakkan pelbagai aktiviti pelancongan di Sungai Muar terutamanya sukan air.

Ekoran masalah yang berlaku itu juga, perkhidmatan bot penumpang menyusuri Sungai Muar dan melihat kelip-kelip terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abdul Wahab Ridwan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung masalah berkenaan pada Isnin lalu dan sepasukan kakitangan telah dihantar untuk memeriksa jeti tersebut.

"Pemeriksaan awal mendapati jeti ini bukannya runtuh, sebaliknya sebahagian daripada strukturnya terbenam ke dalam sungai.

"Tinjauan yang dilakukan mendapati masalah pelantar jeti terbenam ini kerana pelampung yang bocor dipercayai akibat kawasan dasar sungai yang semakin cetek," katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti kerosakan yang dialami oleh jeti itu termasuk kos membaikinya sebelum tindakan susulan diambil.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2010

Tiada ulasan: