TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2010

MAEL DIDENDA RM500 PUKUL ANAK


MAEL (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, semalam.


LEDANG 17 Mei - Vokalis kumpulan rock XPDC, Mael didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak di sini hari ini atas tuduhan memukul anak perempuannya yang berusia 16 tahun, lapan hari lalu.

Penyanyi tersebut turut mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah jenis morfin tetapi hukuman bagi kesalahan itu akan ditentukan kemudian berikutan laporan perubatan terhadapnya masih belum siap.

Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim, 42, mengaku mencederakan anaknya di bahagian kaki dan tangan di sebuah rumah di Jalan Ahmad, Tanjung Agas, di sini kira-kira pukul 7.30 malam, 9 Mei lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan menggunakan rotan dan tangannya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mael yang memakai baju tahanan reman warna ungu dan rambutnya bertocang, tidak diwakili peguam bela.

Tiada ahli keluarga atau rakannya kelihatan sepanjang kes itu berlangsung di mahkamah.

Majistret Salina Omar menggenakan denda tersebut selepas Mael dalam rayuan bagi meringankan hukuman menyatakan dia mempunyai tanggungan lima orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Fadhli Sutris yang mengendalikan pendakwaan berkata, siasatan terhadap penyanyi berkenaan dibuat setelah isterinya membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati sehari selepas kejadian.

''Berdasarkan siasatan, tangkapan telah dibuat terhadap tertuduh di rumahnya di Muar pada Jumaat lepas dan mangsa telah dibawa ke Hospital Tangkak untuk mendapatkan laporan perubatan,'' katanya.

Terdahulu, Mael mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan morfin jenis tetrahydrocannabinol semasa ujian air kencing dilakukan terhadapnya di Pejabat Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang kira-kira pukul 12 tengah hari, 14 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan sehingga tiga tahun.

Pegawai Pendakwa Cif Inspektor K. Subramaniam mengendalikan pendakwaan kes itu.

Salina memerintahkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan tarikh sebutan semula pada 21 Jun ini sementara menunggu laporan perubatan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2010

Tiada ulasan: