TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Mei 2010

PIBG, SKS5P ANJUR PROGRAM KEM ON 5A STAR


Para peserta Program Kem On 5A Star sedang mengikuti senaman pagi di Dataran Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Pekan.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Pekan (SKS5P) telah menganjurkan Program Kem On 5A Star dan Semai Kasih Tabur Budi 2010, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu disertai 37 orang murid Tahun 6 yang bakal mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 23 murid Tahun 4 dan 5.

Yang DiPertua PIBG, Ahmad Mat Noor, berkata program yang diadakan dengan kerjasama Kems Resources, Ulu Tiram itu bertujuan untuk mengenal pasti dan menyediakan keseluruhan aspek kendiri ke arah pembangunan, peningkatan dan kecemerlangan diri murid-murid yang menyertai program itu.

Katanya, anak-anak di peringkat umur ini perlu diberikan kesedaran terhadap tugas dan tanggungjawab mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“sasaran utama kita kepada calon yang bakal mengambil peperiksaan UPSR supaya mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang bermotivasi dan komited dalam meningkatkan kecemerlangan.

“Kita berharap input yang diperoleh mereka dalam program ini akan menjadi perangsang ke arah meningkatkan usaha dan komitmen mereka membina kecemerlangan dalam semua bidang terutamanya akademik,” katanya.

Ahmad berkata, melalui program itu, peserta dapat mempraktikkan konsep 5K iaitu kejujuran dan keikhlasan, kerjasama, kepercayaan, keterbukaan dan kesefahaman dalam membantu mewujudkan suasana harmonis dan kondusif dalam persekitaran yang bermotivasi.

Menurutnya, program motivasi untuk ibu bapa juga telah diadakan sempena program itu bagi memberikan kesedaran dan perlunya tanggungjawab bersama dalam membina kecemerlangan anak-anak terutama selepas waktu persekolahan di mana mereka perlu memantau dan memberikan tunjuk ajar sepenuhnya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 5 MEI 2010

Tiada ulasan: