PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2010

JETI TERBENAM

Oleh Junita Mat Rasid

Muara sungai makin cetek menyebabkan pelampung penyokong pecah

MUAR: Jeti Tanjung Emas, dekat sini yang digunakan untuk kegiatan pelancongan, terbenam dalam Sungai Muar, sejak awal pagi kelmarin, dipercayai akibat keadaan muara sungai yang semakin cetek sehingga menyebabkan pelampung yang menyokong jeti itu pecah.

Jeti bernilai kira-kira RM300,000 itu dirasmikan pada 13 Ogos 2002 oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman untuk kegiatan pelancongan dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar bagi menikmati pemandangan bandar itu.

Sejak dibuka, jeti yang terletak di muara Sungai Muar dan bersebelahan Marina Muar dan kawasan rekreasi Dataran Tanjung Emas itu turut dijadikan pusat kegiatan sukan air termasuk jet ski dan perlumbaan bot laju, selain menjadi antara daya tarikan orang ramai ke kawasan rekreasi yang menjadi lokasi pelbagai program.

Difahamkan, jeti itu semakin senget sejak kira-kira dua minggu lalu, sebelum ia jatuh dan terbenam ke Sungai Muar sehingga menyebabkan empat tiang dan laluan ke pelantarnya saja yang masih kelihatan.

Berita Harian difahamkan, keadaan jeti yang runtuh itu menyebabkan operasi perkhidmatan bot penumpang menyusuri Sungai Muar dan melihat kelip-kelip, turut dihentikan sementara waktu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abdul Wahab Ridwan berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian pagi kelmarin sebelum pihaknya menghantar kakitangan untuk membuat pemeriksaan keadaan jeti berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati jeti itu bukan runtuh, sebaliknya sebahagian daripadanya terbenam ke dalam Sungai Sungai apabila pelampung bocor dipercayai akibat kawasan dasar sungai yang semakin cetek.

“Pelantar jeti yang menggunakan pelampung terbenam ke dalam sungai apabila sebahagian pelampung bocor, " katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti kerosakan yang dialami oleh jeti itu termasuk kos membaikinya sebelum tindakan susulan dijalankan.

Seorang pengunjung, Yusof Mohamad, 56, berkata beliau terkejut apabila mendapati sebahagian jeti itu terbenam ke dalam sungai dan dimaklumkan bahawa keadaan itu berpunca daripada masalah sungai yang semakin cetek.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan supaya membaiki atau menggantikan jeti berkenaan kerana ia adalah antara ia digunakan untuk kegiatan menaiki bot menyusuri Sungai Muar yang juga tarikan utama pengunjung di Tanjung Emas.

“Sayang sungguh apabila tempat pelancongan seperti Jeti Tanjung Emas itu rosak sehingga terbenam ke dalam sungai kerana ia boleh menjejaskan tumpuan pelancong termasuk pelancong luar ke bandar ini bagi menikmati pemandangan indah dari Sungai Muar," katanya.

Katanya, sebelum ini beliau menyedari keadaan jeti itu semakin senget sejak kira-kira dua minggu lalu tetapi tidak menyangka jeti itu akhirnya akan terbenam ke dalam sungai.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 21 MEI 2010

Tiada ulasan: