PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2010

BIMBANG BANJIR KILAT

RAMLAH menunjukkan kesan lumpur yang masih terdapat dalam rumahnya di Kampung Parit Kerinci, Bukit Gambir.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

Penduduk dakwa pemaju tak sedia sistem perparitan


LEDANG: Perasaan bimbang menghantui perasaan penduduk Kampung Parit Kerinci dekat Bukit Gambir setiap kali hujan lebat turun berikutan rumah kediaman mereka yang terletak di pinggir tapak pembinaan dimasuki air.


Tapak pembinaan taman perumahan di Bandar Baru Bukit Gambir yang kedudukannya lebih tinggi daripada rumah penduduk menyebabkan air hujan mengalir memasuki kediaman mereka kerana ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.


Lebih membimbangkan mereka apabila air hujan tersebut mengalir bersama lumpur tanah merah masuk ke dalam rumah.


Penduduk terlibat, Ramlah Samsi, 66, berkata banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun dan setakat ini lebih daripada lima kali ia berlaku.


Katanya, air hujan dari atas bukit kawasan pembinaan akan mengalir terus ke halaman rumah kerana tiada parit yang dibina untuk mengalirkan air ke sistem saliran.


“Dulu tak pernah berlaku banjir kilat tapi sejak adanya pembinaan projek perumahan tersebut ia sering berlaku.


“Mak cik tak kisah kalau cuma air hujan saja tapi kali ini bersama lumpur masuk ke dalam rumah hingga ke paras buku lali tebalnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


Ramlah berkata, semua barang di dalam rumah termasuk tikar, tilam dan perabot basah manakala seluruh ruang rumah dipenuhi lumpur.


Katanya, dia terpaksa mengemas dan mencuci rumahnya yang dipenuhi lumpur dengan bantuan anak-anak dan saudara mara.


Anaknya, Muhammad Hafiz Husin, 29, berkata masalah banjir lumpur itu berlaku kerana pihak pemaju perumahan tidak menyediakan sistem perparitan serta perangkap lumpur hingga menyebabkan rumah penduduk kampung menerima kesannya.


Katanya, masalah tersebut sudah berulang kali diadukan kepada pihak pemaju, namun tiada tindakan yang diambil hingga menyulitkan kehidupan penduduk yang tinggal berhampiran tapak pembinaan itu.


“Kami amat berharap pihak pemaju dapat menggali parit dan membina perangkap lumpur supaya masalah tersebut tidak berlarutan.


“Kami terpaksa mencuci lumpur yang masuk ke dalam rumah selain mengalami kerugian kerana barang-barang yang ada basah dan kotor,” katanya.


Seorang lagi penduduk, Manja Elias, 52, berkata sejak pembinaan taman perumahan di Bandar Baru Bukit Gambir masalah banjir lumpur sering berlaku kerana kedudukan rumahnya lebih rendah berbanding dengan tapak pembinaan yang lebih tinggi dan tiada sistem perparitan yang disediakan.


Beliau mengharapkan pihak pemaju mengambil langkah segera dengan menyediakan parit atau perangkap lumpur bagi mengatasi masalah tersebut.


SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 8 JULAI 2010

Tiada ulasan: