PENGUNJUNG SETIA

12 Julai 2010

SOKONGAN BERTERUSAN JAYAKAN PEMBANGUNAN - MB

LEDANG 11 Julai - Sokongan berte rusan rakyat terhadap kerajaan amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan dan rakyat harus ada semangat saling memahami bagi memastikan suasana harmoni terus terjalin.

"Hubungan inilah yang akan membantu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu mencapai wawasan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Semarak Johor di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini semalam. Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir yang juga Exco kerajaan negeri, M. Asojan serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Johor, Mohammad Abu Bakar.

Abdul Ghani yakin penganjuran program Semarak menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan peringkat negeri mampu menyampaikan maklumat kerajaan secara berkesan kepada rakyat.

"Maklumat kerajaan perlu sampai kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, jantina, umur, agama, tahap pendidikan, tahap ekonomi atau sama ada mereka tinggal di kawasan bandar atau luar bandar.

"Apabila rakyat mendapat maklumat secukupnya, barulah mereka boleh membuat penilaian sewajarnya terhadap usaha-usaha kerajaan memajukan negara," katanya.

Katanya, penganjuran Program Semarak bertepatan dengan matlamat menyebarkan maklumat mengenai falsafah, dasar dan program nasional bagi melahirkan masyarakat berilmu, bermaklumat dan berbudaya luhur.

"Masyarakat bermaklumat harus bersandarkan kepada keperluan manusia yang melibatkan semua orang dan berorientasikan pembangunan. Ini akan membolehkan setiap individu mencapai potensi masing-masing dan memperbaiki mutu kehidupan mereka," katanya.

Program Semarak yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini berlangsung selama tiga hari dan melibatkan 32 gerai pameran daripada agensi kerajaan dan swasta.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JULAI 2010

Tiada ulasan: