PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2010

MANFAAT HOLISTIK BN

KAMPUNG AIR TAWAS – Kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan semua rakyatnya termasuk masyarakat Orang Asli mendapat manfaat daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri, Goh Tee Tee berkata, kerajaan BN sentiasa peka terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli di Ledang kerana mementingkan pembangunan holistik yang dapat dirasai.

“Apa yang dinikmati masyarakat Orang Asli di sini seperti kemudahan elektrik adalah perjuangan BN. Kesemua kampung orang Asli sudah mendapat kemudahan bekalan elektrik.

“Dengan adanya bekalan elektrik, kami juga turut memperuntukkan dua komputer dengan kemudahan Internet bagi memastikan Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus kemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ucapan Perasmian Penutup Majlis Mesra Rakyat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bersama Masyarakat Orang Asli, di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan BN juga memberi peruntukan bantuan perumahan di bawah program Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Kampung Air Tawas.

“Di kampung ini, terdapat sembilan rumah yang diduduki 20 keluarga dengan jumlah 110 penduduk dan mereka tidak dapat hidup selesa kerana terpaksa tinggal beramai-ramai dalam satu rumah.

“Setahun lalu, kerajaan memberi peruntukan mendirikan tujuh rumah PPR dan selebihnya empat lagi akan diusahakan dalam masa terdekat,” katanya.

Tee Tee berkata, jika ada perkara yang musykil, mereka perlu mendapatkan penerangan daripada wakil rakyat ataupun Tok Batin.Jangan sesekali terpengaruh dengan individu yang cuba merosakkan kerajaan.

“Masyarakat Orang Asli juga berhak memberi teguran membina kepada kerajaan jika ada pemimpin yang gagal melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung permohonan peruntukan gelanggang sepak takraw, menaik taraf dataran kampung dan peruntukan alat muzik Tee Tee berkata, permohonan itu masih dalam pemerhatian.

“Saya yakin, dalam masa terdekat jika tidak semua, salah satu permohonan akan diluluskan demi kebajikan dan keselesaan masyarakat di sini.

“Inilah bukti kerajaan BN sentiasa mengambil berat dan tidak pilih kasih dalam memberi bantuan rakyat,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 20 JULAI 2010

Tiada ulasan: