TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2010

PADAH BANJIR LUMPUR

BUKIT GAMBIR – Kegagalan pihak pemaju perumahan menyediakan sistem perparitan yang spesifik dan perangkap lumpur di parit yang dibina mengakibatkan penduduk di beberapa kampung sekitar Bandar Baru Bukit Gambir menerima padah apabila rumah kediaman mereka mengalami banjir lumpur.

Kawasan yang terlibat dengan banjir lumpur ini adalah Kampung Parit Jarum Laut, Jalan Parit Raja, Kampung Parit Kerinci, Kampung Parit Ghani dan Jalan Sengkang-Bukit Gambir.

Penduduk di sekitar kampung terutamanya di kawasan rendah trauma setiap kali hujan kerana bimbang rumah mereka dinaiki air akibat banjir bersama lumpur.

Seorang mangsa banjir, Ramlah Samsi tertekan apabila rumahnya dikotori lumpur selepas banjir berlaku pada minggu lalu.

“Saya tidak sanggup melihat keadaan rumah sebegini. Habis semua perabot, bilik tidur, dapur dan barang kena banjir lumpur.

“Saya tidak larat untuk mengemas rumah ini seorang diri. Hendak membersihkan kesan banjir lumpur yang kering bukan mudah, sehingga kini masih belum selesai.

“Nasib baik ada saudara yang prihatin datang membantu,” katanya.

Ramlah berkata, selain terpaksa tidur di bilik berlumpur dan memasak di dapur yang berkecah, beliau terpaksa mengharungi lalat yang banyak akibat banjir itu.

“Sudah berpuluh tahun saya sekeluarga tinggal di sini dan tidak mempunyai masalah sebegini, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banjir kerap melanda kawasan ini.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya nasib penduduk kampung terbela,” katanya.

Katanya, dia juga terpaksa menggali parit dengan modal sendiri di hadapan rumahnya bagi mengelakkan berlakunya banjir lebih dahsyat.

Seorang lagi mangsa banjir lumpur, Manja Ilias, 50, berkata, dia sekeluarga menderita menghadapi masalah banjir lumpur ini lebih lima tahun lalu

“Kami mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat sejak projek pembinaan sebuah taman perumahan itu dilaksanakan di Bandar Baru Bukit Gambir.

“Sejak projek perumahan dimulakan di Bandar Baru Bukit Gambir, kawasan rumah kami digenangi air kerana sistem perparitan gagal berfungsi, walhal sebelum projek itu, kami tidak mengalami masalah banjir,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 08 JULAI 2010

Tiada ulasan: