PENGUNJUNG SETIA

08 Julai 2010

PROGRAM e-WASTE PARLIMEN LEDANG 10 JULAI

LEDANG: Penduduk sekitar Parlimen Ledang perlu memanfaatkan Program Rakan Alam Sekitar dengan menyertai Program Pengumpulan dan Kitar Semula Buangan Elektrik dan Elektronik (e-Waste) peringkat parlimen itu pada 10 Julai ini.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata program yang akan berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang, Tangkak bertujuan untuk melaksanakan aktiviti pengumpulan dan kitar semula buangan elektrik dan elektronik melalui penglibatan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat sempena Program Rakan Alam Sekitar Peringkat Negeri Johor.

Katanya, orang ramai berpeluang membawa e-Waste untuk diserahkan atau dijual kepada kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam sekitar untuk dikitar semula atau dilupuskan.

“Pendekatan ini dapat mengelakkan e-Waste daripada dibuang dengan cara yang tidak betul dan akhirnya boleh menyebabkan masalah kesihatan dan pencemaran yang serius.

“e-Waste tidak boleh dibuang atau dilupuskan seperti sisa pepejal biasa kerana ianya mempunyai bahan yang membahayakan kesihatan seperti plumbum, kadmium, berillium dan ‘brominated flame retardants’, “ katanya kepada Berita Harian.

Hamim berkata, pelaksanaan program itu berteraskan kepada objektif untuk memupuk budaya pemuliharaan alam sekitar di kalangan masyarakat terutama di dalam pengurusan e-Waste dengan cara yang betul.

Katanya, pemilihan SK Ledang bagi pelaksanaan program itu kerana sekolah tersebut tersenarai sebagai Sekolah Lestari dan melalui aktiviti Rakan Alam Sekitar ia dapat mengaktifkan penglibatan dan jaringan dengan komuniti dan pihak luar sekolah.

Menurutnya, program tersebut digerakkan melalui sekolah sebagai tempat pengumpulan sementara dan semua e-Waste akan diambil atau dibeli oleh kontraktor yang dilantik dalam usaha mempromosikan program itu.

Katanya lagi, antara barangan e-Waste yang boleh dikitar semula ialah komponen komputer, televisyen, radio, mesin basuh, telefon bimbit dan barangan elektrik terpakai.

“Melalui program itu, bukan ganjaran wang yang diharapkan tetapi kita mahu mewujudkan kerjasama bersepadu semua pihak ke arah menjadikan aktiviti kesedaran alam sekitar di kalangan komuniti bersifat lestari dan holistik.

“Pendekatan lebih berkesan ke arah memupuk budaya mesra alam di kalangan masyarakat tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan kualiti alam sekitar yang baik dapat dipertahankan untuk generasi akan datang,” jelas beliau.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 8 JULAI 2010

Tiada ulasan: