PENGUNJUNG SETIA

19 Julai 2010

GALAK ORANG ASLI SERTAI PROGRAM KEMAS

KAMPUNG AIR TAWAS - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang berharap masyarakat Orang Asli di sini mementingkan aspek pendidikan anak-anak dengan menghantar mereka mendapatkan pendidikan awal ke Tabika Kemas.

Penyelia Kanan Kemas Daerah Ledang, Kamsiah Darus berkata, pendidikan di Tabika Kemas penting bagi memberi pendedahan anak-anak Orang Asli dari peringkat awal agar mereka setanding dengan kanak-kanak di luar dalam menempuh arus kemodenan.

“Ibu bapa perlu menghantar anak-anak ke tabika jika mereka cukup umur enam tahun dan saya berharap pada tahun 2011 lebih ramai anak-anak Orang Asli di sini belajar di Tabika Kemas.

“Pendidikan tabika penting dalam memberi peluang kanak-kanak menyesuaikan diri dengan masyarakat luar di samping mengelakkan mereka daripada tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Program Mesra Rakyat Kemas Daerah Ledang di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tangkak, Goh Tee Tee.

Beliau berkata, Kemas Daerah Ledang masih belum berhasrat untuk menubuhkan sebuah tabika di Kampung Air Tawas memandangkan kapasiti pelajar masih belum mencukupi.

“Walaupun di sini masih tiada tabika namun anak-anak Orang Asli boleh mendapatkan pendidikan di Tabika Kemas berhampiran.

“Saya difahamkan ada perkhidmatan pengangkutan bagi menghantar anak-anak Orang Asli ini ke sekolah menengah, sekolah kebangsaan dan tabika,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 19 JULAI 2010

Tiada ulasan: