PENGUNJUNG SETIA

15 Julai 2010

EXPLORACE PROMOSI PRODUK LEDANG

TANGKAK - Seramai 150 belia yang terdiri 50 kumpulan menyertai pertandingan Explorace Ledang sempena Ulang tahun kedua pengisytiharan daerah ini anjuran Majlis Belia Daerah Ledang dan Pergerakan Pemuda UMNO Zon Kesang.

Setiausaha Majlis Belia Daerah Ledang, Zul Shalinizam Sipan berkata, program yang bermula dari Dataran Kesang dan berakhir di Dataran Ledang ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk daerah Ledang.

“Matlamat program ini adalah untuk memberi pendekatan berkaitan budaya dan sosial kemasyarakatan yang ada dalam daerah Ledang.

“Selain itu, program ini mengajak belia mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas selain dapat merapatkan hubungan peserta dengan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti yang disusun dalam pertandingan ini bertujuan meningkatkan keyakinan diri serta menguji ketahanan fizikal dan mental setiap peserta.

“Pelbagai aktiviti disusun dalam pertandingan ini agar sifat kerjasama dapat ditonjolkan dan dapat diaplikasikan dalam menempuh cabaran yang mendatang.

“Pertandingan ini juga diselitkan dengan aktiviti kemasyarakatan dan kepantasan minda untuk membina keyakinan diri selain mengukuhkan semangat setia kawan agar dapat membentuk modal insan yang seimbang selaras dengan pembangunan negara yang mampan,” katanya.

Zul Shalinizam berkata, peserta juga memperoleh input dan ilmu pengetahuan yang lebih mendalam dalam program yang dijalankan dengan bantuan dan sokongan dari masyarakat setempat yang terlibat dalam pertandingan ini.

Katanya, selain itu apa lebih penting adalah memupuk sikap toleransi, bertanggungjawab dan menghargai alam sekitar dalam kalangan belia.

“Melahirkan peserta yang berupaya mengeluarkan idea yang bernas selain mengelakkan golongan muda daripada terjebak ke arah gejala sosial yang tidak bermoral,” katanya.

Majlis Perasmian Penutup Program Explorace Ledang 2010 ini disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri.

Semasa ucapan perasmian penutup itu, Ir Hamim berharap agar program Explorace Ledang akan menjadi satu aktiviti tahunan dalam memperkenalkan daerah Ledang dan produk di daerah ini.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 15 JULAI 2010

Tiada ulasan: