PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2010

121 SEKOLAH AGAMA DIBINA MULAI OKTOBER

NUSAJAYA 12 Julai - Kerajaan negeri akan membina sebanyak 121 buah sekolah agama secara berperingkat di seluruh negeri untuk menampung keperluan pelajar pendidikan agama di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pembinaan tersebut melibatkan lima fasa termasuk fasa pertama hingga keempat bernilai RM224 juta mulai Oktober ini.

"Fasa pertama hingga empat akan bermula Oktober ini dan dijangka siap Jun 2012 manakala fasa kelima melihatkan 24 buah akan bermula pada Oktober 2011," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Abdul Halim Suleimen (BN-Puteri Wangsa) dan T. Murukasvary (BN-Tenggaroh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, sekolah tersebut termasuk pembinaan Sekolah Agama Kem Iskandar pada Oktober ini yang sebelum ini diminta oleh penduduk setempat dan dibangkitkan oleh Murukasvary.

Menurutnya, mengikut pecahan daerah, Johor Bahru akan dibina 23 buah sekolah, Muar (18), Batu Pahat (24), Segamat (11), Kluang (5), Pontian (13), Kota Tinggi (5), Mersing (5), Ledang (11) dan Kulaijaya (6).

Menurutnya, ia termasuk pembinaan bangunan baru untuk menggantikan bangunan asal yang ditumpang adalah sebanyak 89 buah; bangunan baru (13) dan bangunan tambahan (23).

Katanya, daripada 121 sekolah tersebut, sebanyak 55 sekolah mempunyai enam bilik darjah, 26 sekolah (8 bilik darjah), 12 sekolah (10 bilik darjah), 12 sekolah (10 bilik darjah), enam sekolah (14 bilik darjah), satu sekolah (16 bilik darjah), dua sekolah (18 bilik darjah), 2 sekolah (20 bilik darjah).

Zainal Abidin berkata, setiap fasa pembinaan tersebut membabitkan 24 hingga 25 buah sekolah di kesemua daerah oleh pihak pemaju, MysysNet Development Sdn. Bhd. yang dilantik kerajaan negeri.

"Kaedah pembayaran balik oleh kerajaan negeri adalah secara deffered payment mengikut kaedah perbankan Islam," jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JULAI 2010

Tiada ulasan: