PENGUNJUNG SETIA

30 Julai 2010

RAYU SPNB AMBIL RUMAH TERBENGKALAI

LEDANG 29 Julai - Kecewa dengan projek perumahan yang terbengkalai lebih 12 tahun, para pembeli di Taman Seri Emas, Sungai Mati di sini meminta penglibatan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membantu menyiapkan 149 unit rumah di kawasan itu yang masih belum selesai.

Dengan lalang dan semak samun yang tinggi sehingga menutup sebahagian daripada rumah terbengkalai, masalah tersebut dilihat tidak berkesudahan biarpun selepas pengurusannya diambil alih oleh Danaharta Nasional Bhd. sejak 2000 lalu.

Lebih menyedihkan, ada di antara pembeli rumah sudah pun meninggal dunia dan tidak berkesempatan mendiami rumah tersebut.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman Seri Emas, Sa'aya Abu Bakar, 44, berkata, projek pembinaan kawasan perumahan itu telah dimulakan pada 1997 dan dijanjikan siap pada Jun 1998.

"Bagaimanapun, projek perumahan tersebut tidak pernah siap dan syarikat pemaju pula telah diisytiharkan muflis pada 2000.

"Sebelum ini, saya ada mendengar syarikat pemaju ingin meneruskannya tetapi akhirnya tiada syarikat yang sanggup kerana projek ini telah siap hampir 65 peratus dan mereka tidak mahu mengambil untung yang kecil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Sa'aya meminta agar projek tersebut diambil alih SPNB.

"Masalah rumah terbengkalai di Taman Seri Emas pernah mendapat liputan suatu ketika dahulu dan mendapat perhatian ramai pihak tetapi nampaknya, sehingga sekarang masih belum ada kesudahannya," katanya yang juga seorang guru.

Katanya, perumahan tersebut menempatkan tiga jenis rumah iaitu teres, berkembar serta kos rendah dan kesemuanya telah mempunyai pembeli.

Sementara itu, menurut isteri Sa'aya, Suryati Md. Mokhtar, 44, masalah rumah terbengkalai amat membebankan keluarganya kerana terpaksa menjelaskan lebih RM500 sebulan untuk bayaran pinjaman perumahan.

"Sebahagian besar pembeli rumah ini adalah di kalangan guru dan ada juga rakan saya yang membeli rumah ini telah meninggal dunia sebelum sempat tinggal di sini," katanya yang juga seorang guru.

Dia kecewa projek perumahan tersebut masih belum selesai kerana kedudukan kawasan tersebut sangat strategik berikutan berhampiran dengan masjid dan sekolah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JULAI 2010

Tiada ulasan: