PENGUNJUNG SETIA

21 Julai 2010

PEMAJU DIARAH BINA SEMULA PARIT

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhnews@bharian.com.my


SEORANG penduduk menunjukkan sistem perparitan yang dibina semula oleh pemaju perumahan di Jalan Raja, Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Lima keluarga di Jalan Raja, Kampung Parit Jarum Tengah dekat Bukit Gambir, kini boleh menarik nafas lega apabila masalah halaman rumah mereka sering dilanda banjir kilat sejak pembinaan projek perumahan bersebelahan kediaman, berjaya diselesaikan.

Ia berikutan pihak pemaju perumahan berkenaan membina semula sistem perparitan yang didakwa pembinaannya tidak menepati spesifikasi bagi membolehkan air hujan mengalir keluar ke parit utama dengan lancar.

Ketua UMNO cawangan kampung itu, Ramli Abd Rahman, berkata hasil lawatan dan tinjauan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; wakil Majlis Daerah Tangkak (MDT) serta pemimpin masyarakat setempat, masalah yang membelenggu penduduk kampung itu dapat diselesaikan.

Katanya, pihak pemaju diarah membina semula sistem perparitan sedia ada, sudah melaksanakan kerja sambil dipantau pihaknya.

“Pembinaan semula sistem perparitan di projek perumahan itu dapat melancarkan pengaliran keluar air ketika hujan dari kawasan kediaman penduduk.

“Sebelum ini, air hujan tidak dapat mengalir keluar berikutan longkang di projek perumahan berkenaan lebih tinggi daripada kawasan halaman rumah penduduk menyebabkan air bertakung hingga berlaku banjir kilat,” katanya kepada Edisi Johor.

Edisi Johor pada 15 Julai lalu menyiarkan masalah penduduk kampung itu yang terpaksa menghadapi banjir kilat setiap kali hujan lebat sejak projek pembinaan taman perumahan dimulakan berhampiran kediaman mereka.

Sementara itu, penduduk, Aziz Jafar, 47, mendakwa sejak adanya projek pembinaan taman perumahan di situ, kawasan rumahnya dan jirannya digenangi air hujan kerana sistem perparitan yang dibina pemaju menyekat pengaliran air keluar ke parit utama.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk kampung dalam masa singkat bagi mengelaknya terus berlarutan hingga menjejaskan keselesaan penduduk,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 21 JULAI 2010

Tiada ulasan: