PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2010

PAK MATLOB TUBUH MADRASAH


Noraini Ahmad bertanya sesuatu kepada Pak Matlob pada Majlis Tahlil Perdana di Madrasah Tahfiz al-Quran Darul Falah Pekan Semerah, Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 15 Julai – Dengan visi untuk membangunkan generasi al-Quran, Madrasah Tahfiz al-Quran Darul Falah (MTADF) Pekan Semerah di sini ditubuhkan bagi memberi peluang kepada warga daerah ini untuk mendalami kitab suci itu.

Pengerusinya, Mohamad @ Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob berkata, penubuhan madrasah berkenaan bertujuan membudayakan al-Quran dalam kalangan generasi muda supaya celik al-Quran dan memahami tafsirannya, bukan hanya sekadar tahu membaca.

MTADF yang dimulakan pada awal Mei lalu terbuka kepada golongan lelaki dan wanita serta dibahagikan kepada empat kategori.

“Kategori pertama asas al-Quran untuk kanak-kanak berumur antara empat hingga tujuh tahun, kedua untuk yang berumur lapan hingga 12 tahun, ketiga bagi pelajar berumur 13 hingga 17 tahun dan keempat untuk golongan dewasa,” katanya.

Bagi kategori pertama, kanak-kanak terbabit akan diajar asas-asas membaca al-Quran, manakala kategori kedua mereka diajar membaiki bacaan, melancar dan menghafal ayat-ayat lazim begitu juga dengan kategori ketiga.

Bagi golongan dewasa mereka akan diajar membaiki bacaan, melancar dan menghafal surah-surah tertentu.

Setiap penyertaan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM50 dan bagi kategori pertama yuran bulanan RM10, kedua (RM20), ketiga (RM50) dan dewasa (RM100). Tiada bayaran dikenakan kepada anak yatim.

“Bagi mereka yang memilih untuk tinggal di asrama yuran bulanan adalah RM100 sebulan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Tahlil Perdana MTADF baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin manakala penutupannya disempurnakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

Noraini turut teruja dengan inisiatif Pak Matlob mendirikan madrasah tahfiz itu walaupun tanpa bantuan daripada pihak lain.

“Walaupun telah pencen daripada profesion perguruan tetapi beliau masih tidak lokek ilmu dan mahu memberi ruang dan peluang kepada orang ramai menuntut ilmu khusus dalam mendalami al-Quran,” katanya.

Usaha murni Pak Matlob itu patut mendapat sokongan semua pihak dan beliau menyeru warga Parlimen Parit Sulong agar memberi sokongan terhadap MTADF.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 JULAI 2010

Tiada ulasan: