PENGUNJUNG SETIA

22 Mei 2011

1,014 TERIMA LESEN MEMANDU


Abdul Ghani Othman menyerahkan lesen memandu motosikal kepada salah seorang penerima di Serom, Ledang, baru-baru ini.


LEDANG 21 Mei - Seramai 1,014 orang penduduk luar bandar di daerah ini menerima lesen memandu motosikal B2 menerusi Program Satu Komuniti, Satu JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang diadakan bagi memudahkan urusan perkhidmatan jabatan itu dengan orang ramai.

Hampir kesemua penerima lesen memandu percubaan (P) tersebut terdiri daripada penduduk tempatan yang berusia 45 tahun ke atas selain tujuh Orang Asli berusia 21 tahun ke atas dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan disaksikan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.

Menurut Abdul Ghani, program yang mengambil pendekatan turun padang itu telah memberi kesedaran kepada masyarakat luar bandar mengenai pentingnya undang-undang jalan raya dipatuhi dan aspek keselamatan diberi tumpuan.

"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang begitu baik dan ini bermakna masyarakat sedar yang mereka perlu ada lesen memandu.

"Mungkin masyarakat luar bandar mempunyai halangan dan kekangan tertentu untuk mendapatkan perkara itu dan usaha JPJ turun padang memudahkan urusan masyarakat," katanya selepas majlis itu yang berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, Serom di sini kelmarin.

Abdul Ghani berharap JPJ akan memperluaskan program mesra rakyat tersebut di samping terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sementara itu, kata Solah, pendekatan Program Satu Komuniti, Satu JPJ membolehkan anggotanya turun ke luar bandar untuk memberi kursus pendidikan pemanduan, latihan menunggang motosikal dan seterusnya membolehkan peserta menduduki ujian tanpa perlu mengikuti latihan di institusi memandu.

Beliau memberitahu, program yang dikhususkan kepada masyarakat berusia 45 tahun ke atas di kawasan kampung dan pedalaman itu akan mendorong golongan dewasa memberi contoh terbaik kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan lesen memandu.

"Mesejnya amat jelas, kalau bapa mereka yang sudah berumur 45 tahun atau 60 tahun boleh berusaha mendapatkan lesen memandu, kesedaran ini akan turun kepada generasi muda terutama lepasan sekolah," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 MEI 2011

Tiada ulasan: