PENGUNJUNG SETIA

07 Mei 2011

PENIAGA SAWIT LEDANG PATUH ARAHAN


Oleh Azran Jaffar

DALAM usaha membantu kerajaan meningkatkan Kadar Perahan Minyak (OER) sebanyak 23 peratus pada tahun 2020, Persatuan Peniaga Buah Sawit Ledang (PPBSL), Johor, giat mengingatkan ahli supaya tidak berurusniaga dengan buah sawit tandan muda yang dibekalkan pekebun kecil.

Persatuan yang dianggotai kira-kira 50 ahli itu menegaskan, mereka sentiasa mengikuti amalan ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan sudah menjelaskan kepada pekebun kecil supaya tidak membekalkan mereka dengan buah tandan muda.

Pengerusi PPBSL, Mohd Janis Abu Bakar, berkata kali terakhir ahli persatuan diingatkan mengenai perkara berkenaan pada mesyuarat terbaru mereka yang diadakan baru-baru ini dan setiap kali mesyuarat perkara itu antara agenda yang dibincangkan.

"Walaupun pada masa ini masih ada pekebun kecil yang membekalkan buah tandan muda tetapi peratusnya sudah semakin berkurangan iaitu antara 3 hingga 5 peratus dan dijangka dalam masa tidak berapa lama lagi masalah ini akan dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Gambir, Ledang.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah ahli jawatankuasa PPBSL dan Ketua Pejabat, MPOB Wilayah Selatan, Zulkefli Shawal

Buah tanda muda bukan saja tidak mengandungi minyak, malah urus niaga buah tandan muda menjadi kesalahan di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) yang membawa hukuman denda maksimum RM250,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya di mahkamah.

Ahli Persatuan tidak akan lagi berurus niaga dengan buah tandan muda dan pihak kilang juga tidak membeli dan tidak memproses buah tandan muda. Peniaga buah sawit yang bertindak sebagai peraih adalah orang tengah antara pekebun kecil dan pengilang.

Untuk memastikan perkara ini dilaksanakan dengan sepenuhnya, pada 1 April lalu MPOB menempatkan pegawai penguat kuasa di kilang kelapa sawit di seluruh negara untuk memastikan pengilang tidak membeli buah tandan muda.

Mohd Janis berkata, hampir 70 peratus pekebun kecil sudah memahami peraturan ditetapkan MPOB dan pihaknya dari semasa ke semasa memberi taklimat dan ingatan kepada pekebun kecil mengenai perkara itu.

"Bagi peniaga buah sawit pula, walaupun tidak semua mereka yang berada di kawasan Ledang menjadi ahli PPBSL, namun mereka juga diingatkan mengenai peraturan itu dan pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan bilangan ahli PPBSL," katanya.

Peningkatan dalam OER adalah satu daripada lapan projek permulaan (EPP) Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Sawit digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mana kerajaan mensasarkan OER sebanyak 23 peratus pada tahun 2020 daripada 20.49 peratus pada masa ini melalui peningkatan tahunan sebanyak 0.3 peratus.

Dengan rata-rata ahli menyatakan kesungguhan mereka untuk mematuhi peraturan ditetapkan MPOB berhubung buah tandan muda, namun Ahli Jawatankuasa PPBSL menyatakan buah tandan muda bukan semata-mata faktor yang menentukan OER bagi kawasan Ledang.

Setiausaha PPBSL, Lim Chong Seng, pengilang juga harus memainkan peranan mereka dengan berkesan kerana ada ketikanya keadaan di kilang yang menyebabkan OER yang dicapai tidak seperti diharapkan.

"Pengilang perlu memastikan mesin mereka dalam keadaan yang baik kerana ia antara faktor menentukan OER," katanya.

Seorang Ahli Jawatankuasa, Tay Kim Boon, pula berkata, pengilang membeli sawit yang mereka bekalkan pada kadar OER 19 peratus dan kadar itu mereka bayar kepada pekebun kecil.

SUMBER: BERITA HARIAN (BERITA SAWIT) 7 MEI 2011

Tiada ulasan: