TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Mei 2011

BERBAKTI DI GUNUNG LEDANG


Para pelajar UTHM Batu Pahat melakukan aktiviti mendalamkan sungai ketika menyertai program 'Extra Green' di Gunung Ledang, Ledang, baru-baru ini.


LEDANG 10 Mei - Seramai 32 mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menuntut ilmu pemuliharaan alam sekitar di Gunung Ledang di sini baru-baru ini.

Nyata usaha mereka tidak sia-sia, kerana mereka berbangga kerana dapat berbakti kepada negara khususnya pihak pengurusan taman negara berkenaan.

Sepanjang program dua hari itu, peserta Program 'Extra Green' itu melakukan tugas, antaranya mendalamkan sungai, membersihkan kawasan hutan, menanam pokok dan landskap serta mempelajari pelbagai jenis tumbuhan yang terdapat di hutan simpan legenda itu.

Pegawai Pengiring Pusat Kokurikulum UTHM, Mohd. Suffian Md. Nor, 26, berkata, program tersebut bertujuan menanamkan semangat cintakan alam sekitar kepada golongan mahasiswa UTHM di samping membantu pihak Perbadanan Taman Negara Johor mengekalkan kehijauan hutan simpan itu.

"Kita berharap program ini memberi kesedaran kepada penuntut mengenai usaha memulihara alam sekitar dan sentiasa mengingatkan semua pihak supaya tidak memusnahkan kawasan hutan sesuka hati," katanya.

Penolong Pendaftar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM, Ahmad Khirul Nizam Ali, 33, memberitahu, program itu merupakan idea penuntut kerana timbul kesedaran apabila mereka diberikan penerangan mengenai pembalakan dan pembukaan tanah haram di kawasan lereng bukit yang sering berlaku di negara ini.

"Segala perancangan program dijalankan sepenuhnya oleh mahasiswa bagi meningkatkan kemahiran insaniah yang sering ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran kursus kokurikulum di bawah kendalian Pusat Kokurikulum UTHM," katanya.

Menurut beliau, Gunung Ledang dipilih kerana tempat tersebut terkenal sebagai hutan simpan yang mempunyai pelbagai khazanah flora dan fauna serta mitos dan sejarah tersendiri.

Penuntut Fakulti Pengurusan Teknologi, Pengurusan dan Keusahawanan, Nur Fadhlina Mohd. Haris, 28, memberitahu, hasil daripada program itu, peserta dapat merasai keunikan dan keindahan alam sekitar hasil inisiatif kerajaan mengekalkan kehijauan hutan di Malaysia.

Bagi penuntut Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Shah Jahan Mohamad Mokhtar, 25, dia berasa puas kerana dapat membantu pihak Perbadanan Taman Negara Johor mengekalkan kehijauan alam sekitar di hutan tersebut.

"Umum sedia maklum bahawa dunia kini sedang mengalami pemanasan global yang kritikal, kita boleh lihat banyak bencana alam berlaku seperti banjir kilat, kemarau dan kebakaran hutan yang mengakibatkan kemusnahan harta benda, kehilangan tempat tinggal, penyakit dan mengorbankan banyak nyawa," katanya sambil berharap golongan mahasiswa harus sentiasa memainkan peranan menyedarkan masyarakat mengenai situasi itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MEI 2011

Tiada ulasan: