PENGUNJUNG SETIA

20 Mei 2011

JPJ MAHU PERLUAS PROGRAM SATU KOMUNITI SATU JPJ

LEDANG 20 Mei – Kegigihan golongan warga emas mengikuti kursus untuk mendapatkan lesen motosikal di bawah program Satu komuniti, Satu JPJ anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) patut dicontohi oleh generasi muda lepasan sekolah menengah dan kolej di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassn berharap program tersebut dapat menimbulkan kesedaran kepada golongan tersebut tentang pentingnya mereka mempunyai sikap pemanduan secara berhemah ketika menunggang motosikal di atas jalan raya.

"Ini kerana 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya kepada pemberita selepas majlis Satu Komuniti, Satu JPJ anjuran JPJ Johor di Dewan Institut Kemahiran Tinggi Mara di Serom dekat sini hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Serom turut menghadiri majlis tersebut.

Sebanyak 1,016 orang termasuk tujuh daripadanya Orang Asli menerima lesen motosikal di majlis berkenaan.

Menurut Solah, usaha mendapatkan lesen memandu harus disertai dengan sikap memandu secara berhemah dan bersedia mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Kalau mereka yang telah berusia 45 tahun ke atas malah ada yang sudah berumur 60 tahun sanggup bersusah payah menyertai program ini, apatah lagi golongan muda terutama lepasan sekolah menengah dan kolej kerana lesen memandu adalah satu keperluan,” katanya.

Mengenai program tersebut beliau menerangkan ia adalah satu pendekatan baru untuk membawa perkhidmatan JPJ kepada masyarakat luar bandar terutama mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu tanpa perlu ke pejabat JPJ di bandar-bandar.

Katanya JPJ menyedari masyarakat pendalaman menghadapi masalah untuk menjalani kursus pemanduan di sekolah-sekolah memandu kerana kesuntukan masa serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Beliau gembira kerana sambutan masayrakat terhadap program tersebut amat menggalakkan dan berharap kesedaran pengetahuan pemanduan secara berhemah dapat dipraktikkan. - Bernama

SUMBER: UTUSAN ONLINE, 20 MEI 2011

Tiada ulasan: