TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Mei 2011

MPOB WILAYAH SELATAN GIAT LAKSANA EPP4 DI BAWAH NKEA


Oleh Azran Jaffar

TANGKAK
: Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Wilayah Selatan, yakin inisiatif kerajaan dalam memajukan industri sawit di negara ini seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan dapat dilaksanakan.

Ketuanya, Zulkefli Shawal, berkata pada masa ini pihaknya sedang memberi tumpuan kepada projek permulaan (EPP4), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Sawit iaitu meningkatkan Kadar Perahan Minyak (OER) dengan meningkatkan pemahaman di kalangan peniaga buah sawit dan pekebun kecil supaya tidak berurusniaga dengan buah tandan muda.

"Buah tandan muda sawit tidak mempunyai kandungan minyak dan dikenalpasti sebagai salah satu sebab utama kejatuhan OER apabila buah sawit yang diproses di kilang mempunyai peratusan yang tinggi buah tandan muda.

"Melalui EPP4, kerajaan mensasarkan peningkatan OER kepada 23 peratus menjelang tahun 2020 daripada 20.49 peratus pada masa ini melalui peningkatan tahunan sebanyak 0.3 peratus.

"Untuk tujuan itu juga Pejabat MPOB Wilayah Selatan menempatkan 27 penguat kuasa MPOB di 27 kilang di Johor untuk menjalankan pemantauan terhadap perkara ini.

"Pada masa ini terdapat 63 kilang sawit di seluruh negeri Johor dan kita akan mendapat tambahan 86 penguat kuasa lagi untuk ditempatkan di semua kilang sawit negeri ini," katanya ketika ditemui di pejabat MPOB, Cawangan Tangkak, baru-baru ini.

Pejabat MPOB Wilayah Selatan yang berpangkalan di Johor Baru pada masa ini mengawasi tiga pejabat MPOB di negeri ini iaitu Pejabat Cawangan Kluang, Cawangan Tangkak dan Stesen Pelabuhan Pasir Gudang.

Pejabat Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak di pelabuhan itu mempunyai makmal bagi menguji dan menganalisa keluaran sawit untuk eksport.

Zulkefli berkata, penempatan penguat kuasa di kilang sawit yang dilaksanakan pada 1 April lalu mula memperlihatkan kesan yang baik dari pengilang dan kualiti buah sawit yang diterima didapati meningkat.

"Malah kilang yang masih belum dapat penguat kuasa MPOB, meminta kami menempatkan segera pegawai penguat kuasa di kilang mereka dan kita akan menempatkan pegawai itu sebaik saja kita mendapat tambahan pegawai itu dalam masa terdekat.

"Ada kilang menyediakan kontena untuk dijadikan pejabat bagi memastikan penguat kuasa MPOB dapat melaksanakan tugas diamanahkan dengan berkesan. Ini menunjukkan penerimaan baik pengilang terhadap inisiatif NKEA kerana mereka sedar kehadiran penguat kuasa adalah untuk meningkatkan OER yang secara langsung akan memberi kebaikan kepada mereka," katanya.

Johor adalah negeri ketiga terbesar dari segi keluasan tanaman sawit, selepas Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun dari segi kematangan industri, Johor adalah yang pertama.

"Johor tidak mempunyai keluasan tanah yang besar seperti Sabah dan Sarawak untuk mengembangkan perladangan sawit dan untuk itu ia banyak terbabit dalam kegiatan hiliran industri sawit," katanya.

Ditanya mengenai tugas Pejabat MPOB Wilayah Selatan, Zulkefli berkata, selain penguatkuasaan ia juga terbabit dalam pelesenan aktiviti berkaitan kelapa sawit.

"Kita akan pastikan mereka yang terbabit dalam industri sawit dilesenkan kerana ada kes membabitkan menyimpan tanpa lesen, sedut-curi minyak sawit di samping memastikan syarat yang ditetapkan dalam lesen dipatuhi," katanya.

Mengulas mengenai aktiviti sedut-curi minyak sawit, beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Alam Sekitar bagi membendungnya.

Aktiviti ini bukan saja melanggar Akta MPOB dan boleh diambil tindakan undang-undang tetapi juga memberi kesan tidak baik kepada industri sawit kerana menyebabkan pencemaran kepada minyak sawit, katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN (BERITA SAWIT), 7 MEI 2011

Tiada ulasan: