PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2011

TEKAD LEDANG


Oleh Jamaludin Husin

DAERAH Ledang berazam mempertahankan gelaran juara peringkat kebangsaan pertandingan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2010 kategori Bawah 12 Tahun.

Azam itu disuarakan jurulatih pasukan, Fazarina Abd Kadir selepas pasukannya menjuarai kejohanan peringkat negeri membabitkan 12 pasukan di Pontian, baru-baru ini.

Daerah Ledang berjaya mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu selepas mengalahkan Johor Bahru, 35-28 pada perlawanan akhir.

Mersing menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Batu Pahat dengan keputusan 21-20.

Fazarina berkata, pasukannya kini mewakili Johor ke peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur, bulan depan.

Menurutnya, tahun lalu, Johor muncul juara selepas mengalahkan Pahang 32-17 manakala tempat ketiga dimenangi Pulau Pinang yang menewaskan Sarawak.

"Kami hanya diberi masa kira-kira seminggu untuk melatih pemain sebelum menyertai pertandingan tapi masa yang singkat itu tidak mematahkan semangat pemain serta jurulatih untuk meraih kejuaraan.

"Kami bersyukur kerana Ledang kekal juara walaupun ditentang hebat terutama di peringkat suku akhir tapi kami berjaya menewaskan Batu Pahat, 27-21," katanya.

Fazarina dari Sekolah Kebangsaan Kesang Tasik, Ledang berkata, dia terpilih menjadi jurulatih pasukan MSSM negeri selepas pasukannya yang mewakili Ledang muncul juara peringkat daerah tahun lalu.

Menurutnya, dia akan memilih 12 pemain membabitkan pasukan bola jaring di Ledang, Johor Bahru dan Mersing untuk bergabung tenaga dalam sebuah pasukan bola jaring MSSM Johor ke peringkat kebangsaan.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 MEI 2011

Tiada ulasan: