TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2011

DAPAT LESEN B2 SECARA TERUS


LEDANG – Fenomena menunggang motosikal tanpa lesen bagi kategori warga yang berusia 45 tahun ke atas dan Orang Asli berusia 21 tahun ke atas khususnya di kawasan luar bandar dapat diatasi menerusi pendekatan program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kekangan jarak perjalanan yang jauh menyukarkan mereka meluangkan masa ke JPJ untuk mendapat lesen memandu yang sah dipercayai menjadi faktor penunggang warga emas tidak memiliki lesen motosikal.

Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh JPJ dengan memberikan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat untuk memperolehi lesen kelas B2 dipuji kerana mereka tidak perlu ke mana-mana institusi memandu.

“Apa yang lebih penting kepada setiap penunggang motosikal adalah mempunyai pengetahuan yang baik menggunakan jalan raya,” katanya ketika berucap merasmikan program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) DUN Serom, di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, semalam.

Beliau berkata, pengetahuan tersebut sangat penting untuk menyedarkan masyarakat agar lebih berhemah semasa menunggang motosikal di jalan raya.

“Sebanyak 60 peratus kemalangan jalan raya di negara ini membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Jadi dengan memiliki lesen yang sah, mereka tidak perlu bimbang kerana akan dilindungi dengan insurans jika berlaku sebarang kemalangan jalan raya,” katanya.

Selain itu, katanya, setiap hari mencatatkan 19 kematian akibat kemalangan jalan raya adalah membabitkan penunggang motosikal.

“Meskipun, kadarnya ini sudah berkurangan tetapi ia masih berada pada paras yang tinggi dan membimbangkan.

“Kemalangan yang berlaku ini adalah berpunca daripada sikap penunggang itu sendiri kerana sering menunggang motosikal secara berbahaya dan melebihi had laju yang ditetapkan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, menerusi program tersebut mereka didedahkan dengan pengetahuan undang-undang jalan raya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 21 MEI 2011

Tiada ulasan: