PENGUNJUNG SETIA

01 Mei 2011

DEKATI RAKYAT HINGGA KE AKAR UMBI


Perlu kerjasama erat antara agensi kerajaan, badan berkanun

LEDANG :– Matlamat kerajaan untuk mendekati rakyat sehingga ke peringkat akar umbi akan tercapai jika kerjasama erat dapat diwujudkan hasil penglibatan bersama daripada agensi kerajaan dan badan berkanun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee berkata, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat melalui pelbagai program sama ada dianjurkan sendiri mahupun bersama agensi Kerajaan yang lain.

Menurutnya, menerusi Program Mesra Rakyat atau Hari Bersama Pelanggan dilihat menjadi platform kepada rakyat untuk menyuarakan serta menyelesaikan masalah yang hadapi selain mendapat maklumat terkini mengenai program kerajaan mahupun agensi yang terlibat.

“Melalui program yang dianjurkan, agensi kerajaan dapat menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti atau peluang yang boleh diperoleh rakyat seperti perkhidmatan atau pekerjaan yang ditawarkan.

“Pihak agensi pula dapat menerima pandangan atau idea yang boleh meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat melalui pertemuan atau dialog yang diadakan,” katanya ketika merasmikan Hari Bersama Pelanggan Telekom Malaysia (TM) dan pelancaran Kad Setia TMPoint Ledang yang diuruskan Innoseven Sdn Bhd di Jalan Payamas, Tangkak, di sini.

Tee Tee berkata, menerusi Pelan Jalur Lebar Kebangsaan. kerajaan sentiasa berusaha untuk menggalakkan rakyat menggunakan Teknologi Maklumat (IT) serta meningkatkan bilangan rakyat celik IT.

“Usaha TM menganjurkan program seumpama ini sangat tepat bagi menarik minat rakyat memanfaatkan penggunaan perkhidmatan Internet di samping mendapatkan perkhidmatan dan produk terbaru yang ditawarkan.

“Dengan adanya TMPoint di bandar ini akan dapat memberikan kemudahan kepada penduduknya mendapatkan perkhidmatan seperti pembayaran bil utiliti dan penyambungan telefon baru atau Internet,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan jabatan kerajaan dan agensinya membuka cawangan mereka di bandar Tangkak sejajar dengan pertumbuhan penduduk yang memerlukan pusat perkhidmatan setempat bagi memudahkan urusan seharian.

“Dengan adanya pusat perkhidmatan berkenaan, penduduk tidak perlu ke bandar lain untuk menyelesaikan urusan mereka yang berkaitan dengan beberapa agensi malah boleh pergi ke beberapa jabatan pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau berharap TMPoint Ledang sentiasa memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan di samping sentiasa menerima kritikan atau pandangan mereka bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang memuaskan pelanggan yang berurusan.

Sementara itu, Pengarah urusan Innoseven Sdn Bhd, Abdul Rahim Talib berkata, TMPoint Ledang memulakan operasinya bermula Jun 2010 dapat memberikan kemudahan kepada penduduk Tangkak dan sekitarnya melakukan urusan pembayaran bil tanpa pergi ke pusat pembayaran bil yang lain seperti pejabat pos.

“Pelancaran Kad Setia bertujuan untuk memberi penghargaan kepada pelanggan yang membuat urusan di TMPoint Ledang secara berterusan dan pihaknya akan menyediakan hadiah kepada pelanggan setia yang terpilih,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop; Penolong Pengurus Besar, TM Consumer Johor, Mohd Anuar Arshad dan Pengerusi TM Business Council Muar/Ledang, Kamal Mokri.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 01 MEI 2011

Tiada ulasan: