PENGUNJUNG SETIA

16 Mei 2011

BAJET 2012 TANGANI KADAR INFLASI

LEDANG: Bajet 2012 akan yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pada 7 Oktober ini, turut mengambil kira langkah menangani peningkatan inflasi sejak lima tahun lalu yang antara lain menyebabkan kenaikan harga barang makanan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata langkah itu perlu bagi memastikan persekitaran ekonomi lebih selesa kepada rakyat.

Katanya, Bajet 2012 akan membantu membina struktur yang lebih cekap dan efektif bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Kita akan menangani masalah inflasi, walaupun masalah itu berlaku pada peringkat global dan rakyat tahu mengenainya, namun apa yang penting bagaimana kerajaan dapat membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ledang di sini semalam. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Ahmad Husni berkata, sebagai permulaan penyediaan kepada bajet, pihaknya menetapkan 10 kumpulan sasar yang akan dibincangkan mulai bulan depan dengan membabitkan semua pihak termasuk kementerian, ahli perniagaan, akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara perkara lain yang akan diberi tumpuan termasuk usaha tingkatkan pelaburan swasta, pembangunan sosial, kemajuan luar bandar, penyelidikan dan inovasi, industri kecil sederhana dan menangani pembiayaan perumahan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 MEI 2011

Tiada ulasan: