TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2011

PEKA KEPERLUAN PELAJAR


PKMMNJ sumbang dana kepada sekolah terpilih

LEDANG: - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) Daerah Ledang begitu peka dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar menerusi program kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru- baru ini.

Yang Dipertuanya, Zabridin Ahmad berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan memberikan sumbangan dana kepada sekolah terpilih.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membina kecemerlangan setiap calon yang bakal menduduki UPSR.

“Pihak persatuan sentiasa proaktif menjalinkan kerjasama erat dengan masyarakat dan melaksanakan kerja kebajikan bagi merapatkan hubungan silaturahim seramai 150 ahlinya dengan komuniti di daerah ini.

“Sejak ia ditubuhkan di daerah ini, setiap tahun kami membantu pihak sekolah meningkatkan pencapaian kecemerlangan murid dalam UPSR antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Makmur, SK Bukit Rahmat dan pada kali ini SK Bukit Gambir,” katanya pada ucapan perasmian Program Kecemerlangan UPSR 2011 dan Motivasi Sentuhan Hati anjuran Unit Bimbingan Kaunseling SK Bukit Gambir.

Beliau berkata, sumbangan ini bertujuan memberikan suntikan semangat kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR.

“Ia menjadikan galakkan kepada mereka untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan yang diharapkan semua pihak terutamanya ibu bapa.

“Seramai 110 murid Tahun Enam sekolah ini mengikuti program motivasi selama tiga hari dua malam dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial,” katanya.

Zabridin berkata, hasil daripada sumbangan berkenaan berjaya melonjakkan peningkatan pencapaian murid memperoleh 5A di sekolah yang dibantu.

“Peranan pihak sekolah dalam membina kecemerlangan anak didiknya perlu disokong ibu bapa dengan memberikan semangat dan dorongan kepada anak-anak dalam melipatgandakan usaha. Ilmu yang dipelajari diharap dapat dimanfaatkan dalam membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak yang cemerlang untuk menjadi insan yang berguna.

“Saya berharap sumbangan basikal yang diterima dapat meningkatkan semangat mereka untuk berusaha dan memperoleh kecemerlangan dalam pelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Difahamkan, seramai lima murid kurang berkemampuan iaitu, Nurul Syafiqah Zali; Nur Hanisah Md Tamin; Muhd Nurhafeez Misran; Fatin Najwa Kamarudin dan Mohd Badrol Amin Ibrahim menerima bantuan basikal sumbangan syarikat Irfanis Bina Sdn Bhd

Turut hadir, Setiausaha PKMMNJ Ledang, Abu Bakar Md Affendi; Yang Dipertua PIBG SK Bukit Gambir, Suib Kamari; Naibnya, Mohd Ismail Hamdan dan Guru Besar SK Bukit Gambir, Hawa Dumun.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 21 MEI 2011

Tiada ulasan: